[VIDEO] Versi ‘Comel’ City Mempersonakan

Honda City Hatchback baru-baru ini dilancarkan di Thailand sekali gus menandakan kemunculan sulungnya bagi pasaran global.

Bagi peminat City tetapi mahukan versi yang lebih pendek dan ‘comel’, jentera ini memberikan anda pilihan berkenaan.

Perkara utama yang sudah tentu menjadi persoalan bagi pengguna jika kereta tiga varian ini ditawarkan di Malaysia kelak sudah tentu harganya. Di Thailand, jentera tersebut dijual pada harga permulaan 599,000 baht (RM81,016) bagi varian S+.

Varian kedua yang ditawarkan iaitu SV pula dijual pada harga 675,000 baht (RM91,296) manakala varian RS berharga 749,000 baht (RM101,304).

RUANG dalaman kereta ini yang nampak kemas dan mempesona.

Berkenaan soal reka bentuknya pula, jika dilihat dari sudut pandang hadapan, tidak begitu berbeza daripada model sedan jentera tersebut.

Bagaimanapun, sudah tentu rekaan bahagian belakangnya berbeza daripada City sedan kerana kereta ini sebuah jentera hatchback.

Paling ketara pastinya kepanjangan antara kedua-dua jentera itu, yang mana Honda City Hatchback adalah sepanjang 4,345 milimeter (mm), 208mm lebih pendek berbanding model sedan.

Pelancaran Honda City Hatchback juga menimbulkan tanda tanya adakah ia akan menggantikan Honda Jazz yang dijual di negara ini.

Bahkan, ada juga spekulasi kedua-dua jentera itu akan dijual secara serentak sekali gus mematikan khabar angin bahawa Jazz akan dihentikan penjualannya bagi pasaran Malaysia.

Kita tinggalkan soal itu dan kembali kepada spesifikasi jentera berkenaan. City Hatchback didatangkan dengan enjin 1.0 liter VTEC Turbo tiga silinder.

Dengan enjin tersebut, jentera itu berkeupayaan menghamburkan kuasa maksimum 122 PS pada 5,500rpm dan tork maksimum 173Nm pada 2,000 hingga 4,500rpm.

Dipadankan dengan enjin tersebut adalah kotak gear CVT.

Selain itu, jentera berkenaan mempunyai spesifikasi berbeza mengikut model yang ditawarkan.

HONDA City Hatchback mempunyai reka bentuk belakang yang lebih pendek atau ‘comel’ berbanding versi sedan jentera itu.

Sebagai contoh, model S+ dan SV didatangkan dengan rim aloi 15 inci manakala RS dipadankan dengan rim aloi bersaiz 16 inci.

Model S+ didatangkan dengan beberapa kelengkapan asas, antaranya gril hadapan krom, ruang dalaman berwarna hitam, kemasan fabrik, penghawa dingin manual serta empat beg udara.

Antara teknologi keselamatannya pula adalah Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mendaki Bukit (HSA), Sistem Brek Antikunci (ABS) dan Agihan Brek Elektronik (EBD).

BAHAGIAN pemanduan kenderaan ini tampak begitu selesa.

Bagi model SV pula, selain ciri-ciri yang dimiliki S+, model ini turut didatangkan dengan kerusi kulit, penghawa dingin automatik, kotak penyimpanan barang di konsol tengah, sistem Advance Touch lapan inci dan kamera pandang belakang pelbagai sudut.

Bagaimanapun, jika anda mahukan pengalaman penuh pemanduan Honda City Hatchback, sudah tentu hanya model paling mahal iaitu RS mampu memberikan anda kepuasan tersebut.

Bersesuaian harganya, varian RS dilengkapi beberapa ciri mewah seperti antena shark fin, spoiler, kombinasi material suede dan fabrik bagi tempat duduk serta paddle shifter.

ENJIN VTEC Turbo dipadankan dengan kotak gear CVT.

Tidak cukup itu, RS juga didatangkan dengan tambahan enam beg udara, sekali gus meningkatkan elemen keselamatan jentera berkenaan.

Usah bimbang sekiranya anda seorang yang sering membawa barangan dalam kuantiti besar ke mana-mana. Ini kerana Honda City Hatchback didatangkan dengan konfigurasi tempat duduk Ultra yang membolehkan tempat duduk dilipat, sekali gus membolehkan anda menempatkan barangan.

Terdapat empat konfigurasi yang boleh anda lakukan iaitu mod Utility, Long, Tall dan Refresh.

Honda City Hatchback ditawarkan dengan enam pilihan warna iaitu Ignite Red Metallic (merah metalik), Platinum White Pearl (putih), Meteoroid Grey Metallic (kelabu metalik), Sonic Grey Pearl (kelabu), Crystal Black Pearl (hitam) and Taffeta White (putih)-KM

Sumber: Paultan

 

 

Eksklusif: Spesifikasi penuh Proton X50

Leave a Reply