10 Ahli Parlimen UMNO sokong Anwar termasuk Najib dan Zahid



Sebaran :

Walaupun kemelut Perak telah melabuhkan tirainya dengan pelantikan menteri besar dari UMNO, namun krisis perebutan kuasa jawatan nombor satu negara belum menampakkan pengakhirannya.

Terkini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR yang mewakili Pakatan Harapan (PH) bersama-sama DAP dan Amanah mendapat ‘nafas’ baharu’ apabila disokong oleh 10 Ahli Parlimen (MP) UMNO termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut sumber yang rapat dengan percaturan tersebut, sokongan yang diperolehi Anwar daripada 10 MP UMNO tersebut adalah dalam bentuk akuan bersumpah (SD) yang akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.



Laporan awani menjelaskan 10 MP UMNO selain Pekan dan Bagan Datoh ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Selain itu, nama Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah dan Anggota Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria turut tersenarai.

“Walaupun dengan ‘nafas baharu’ oleh 10 MP UMNO itu, Anwar belum dapat mengumpulkan SD yang secukupnya untuk membentuk kerajaan baru dengan majoriti mudah, apatah lagi majoriti besar ‘kukuh dan menyakinkan’ seperti yang didakwa beliau sebelum ini.



“Selain Ahli Parlimen UMNO, Anwar juga dikatakan mendapat sokongan dua ahli Parlimen Gabungan Parti

Sarawak (GPS) dan beberapa ahli Parlimen yang dahulunya bersama-sama dalam parti Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata sumber itu

Menurut sumber itu lagi, sokongan UMNO kepada PH yang turut dianggotai oleh DAP itu sepatutnya dicetuskan semasa kemelut Perak baru-baru ini, tetapi digagalkan setelah Majlis Tertinggi (MT) UMNO menolak kerjasama parti itu dan PH.



Pada Sabtu, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata wujud cubaan dan konspirasi pihak tertentu untuk mengubah pendirian Barisan Nasional (BN) menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti DAP.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan konspirasi menggagalkan dasar “no Anwar no DAP” sedang berjalan dengan menggunakan SD.

“SD cuba dikutip, pujuk rayu berterusan, punca kemarahan kepada kerajaan cuba direka, nama istana dan kerabat turut diguna.



“Liciknya pihak yang kempunan kuasa, yang berharap mengambil alih kuasa amat bijak mengatur strategi,” kata Annuar dalam satu hantaran di Facebooknya.

 


Sebaran :


Leave a Reply