Menghadap Sultan Perak, Presiden PAS masih menunggu perkenan Tuanku

IPOH: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang belum mendapat perkenan untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Perkara itu disahkan Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini kepada Utusan Malaysia hari ini.

“Sehingga ini belum lagi,” katanya menerusi aplikasi pesanan ringkas WhatsApp.



Sebelum ini, Abdul Hadi mengemukakan permohonan menghadap Sultan Perak berikutan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu tidak menghadap sebagaimana dititahkan baginda Selasa lalu ketika kemelut politik Perak.

Tiga ADUN Pas itu ialah ADUN Semanggol yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria; ADUN Selama, Mohd. Akmal Kamarudin dan ADUN Kubu Gajah, Mohd. Khalil Yahaya.

Razman yang mengulas tindakan mereka berkata, keputusan berkenaan diambil atas arahan pucuk kepemimpinan parti.

Berikutan itu, tiga ADUN Pas itu menzahirkan permohonan maaf kepada Sultan Perak atas kekhilafan mereka semalam kerana tidak menghadap sebagaimana dititahkan baginda.



Sultan Nazrin kuasa penentu masa depan Kerajaan Negeri Perak

Sementara itu, Mohd. Annuar menegur lidah rasmi Pas, Harakah yang didakwa tidak menghormati Sultan Nazrin dalam penyiaran gambar di portal tersebut.

Portal itu telah memuat naik gambar Razman setanding dengan Sultan Nazrin.



Dalam hantaran dalam laman Facebooknya hari ini, Mohd. Annuar menasihatkan akhbar itu agar belajar beradab.

“Nasihat saya kepada Ketua Pengarang Harakah Daily, belajarlah lebih beradab dalam menjunjung adat negeri beraja, rakyat bersultan.

“Bila meletakkan gambar, jangan sampai disamatarafkan kedudukan seorang ADUN dengan darjat seorang raja pemerintah,” katanya dalam hantaran dalam Facebook beliau hari ini.

Berikutan itu, Harakah telah menyembahkan permohonan ampun kepada Sultan Nazrin di atas kekhilafan menyiarkan gambar ahli politik parti itu setanding dengan baginda menerusi satu kenyataan ralat hari ini.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker