Apandi fail mohon dapat dokumen penamatan khidmat

KUALA LUMPUR: Tan Sri Mohamed Apandi Ali, hari ini memfailkan permohonan bagi mendapatkan dokumen berkaitan penamatan khidmatnya sebagai Peguam Negara dalam saman menuntut ganti rugi RM2.2 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Malaysia.

Peguam Datuk Baljit Singh Sidhu, yang mewakili Mohamed Apandi, memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes secara dalam talian (e-review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Norhatini Abd Hamid, yang menetapkan 12 Januari ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Dalam permohonan itu, Mohamed Apandi selaku plaintif antara lain memohon satu perintah mahkamah supaya beliau bebas memeriksa dan dibekalkan dengan salinan dokumen atau surat berhubung penamatan perkhidmatannya.



Katanya, dokumen itu berada dalam milikan, jagaan atau kuasa kedua-dua defendan dan perlu diberi untuk plaintif membuktikan tuntutan samannya.

Baljit dalam pada itu berkata, permohonan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara secepat mungkin.

Apandi tuntut ganti rugi disingkir sebagai peguam negara



Pada 13 Oktober lalu, Mohamed Apandi memfailkan saman dengan menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan pemecatannya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas perdana menteri itu sebagai tidak sah.

Dalam penyataan tuntutannya, Mohamed Apandi yang juga Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Peguam Negara pada 2015, menuntut perisytiharan defendan pertama menyalahgunakan kedudukannya dan mendorong berlaku pelanggaran kontrak antara beliau dan kerajaan Malaysia.

Beliau juga memohon perisytiharan wujud kegagalan pematuhan terhadap Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dalam pemecatannya dan ia tidak mengikut undang-undang, dan oleh itu tidak sah.

Mohamed Apandi memohon ganti rugi khas RM2,233,599.36, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan/atau punitif, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.



Dalam penyataan pembelaan difailkan pada 12 November lalu, kedua-dua defendan menegaskan tindakan menamatkan kontrak perkhidmatan Mohamed Apandi sebagai Peguam Negara adalah sah serta mengikut peruntukan undang-undang dan tiada penyalahgunaan kuasa oleh Dr Mahathir dalam hal berkenaan. – BERNAMA

Pandangan negatif dan jahat Mahathir punca saya dipecat – Apandi



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker