Apandi tuntut ganti rugi disingkir sebagai peguam negara

Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali sedang memulakan tindakan undang-undang terhadap Jabatan Peguam Negara (AGC), berkata beliau diberhentikan secara tidak sah oleh pentadbiran Pakatan Harapan pada tahun 2018.

Apandi dilaporkan mengirim surat tuntutan kepada AGC semalam, memberikannya tujuh hari untuk memberikan maklum balasnya – jika tidak, beliau akan meneruskan prosiding undang-undang.

Menurut surat yang dilihat Malaysiakini, Apandi mendakwa pemberhentiannya dua tahun lalu adalah melanggar undang-undang, maka ia batal dan tidak sah.

Surat tuntutan itu dihantar oleh firma guaman Shukor Baljit and Partners dan dikatakan telah sampai kepada AGC pada hari yang sama.

“…melalui surat bertarikh 6 April 2018, Ketua Setiausaha Negara memberitahu anak guam kami bahawa Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac 2018 telah bersetuju untuk melantik semula anak guam kami sebagai Peguam Negara untuk Persekutuan berkuat kuasa dari 27 Julai 2018.

“… melalui surat bertarikh 7 Mei 2018 kepada Ketua Setiausaha Negara, anak guam kami telah menerima pelantikan semula sebagai Peguam Negara untuk Persekutuan,” kata surat itu.

‘Mahathir atur penyingkiran’

Dalam surat itu, Apandi mendakwa pemecatannya diatur oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad. Beliau menuduh Mahathir telah menyalahgunakan kuasanya.

Menurut bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Peguam Negara akan memegang jawatan selama perkenan Yang di-Pertuan Agong, dan pada bila-bila masa boleh melepaskan jawatannya dan, melainkan jika dia ialah anggota kabinet, AG akan menerima pampasan sebagaimana yang diperkenan oleh Yang di- Pertuan Agong.

Apandi menuntut ganti rugi atas kehilangan pendapatan, elaun dan faedah yang berhak diperolehinya dari 27 Julai 2018 hingga 26 Julai 2021.

Beberapa hari selepas gabungan PH membentuk kerajaan persekutuan setelah memenangi pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018, pentadbiran baru mengarahkan Apandi untuk bercuti.

Mahathir berkata kerajaan tidak dapat menggantung tugas Apandi kerana tidak ada laporan rasmi yang dibuat terhadapnya.

Bagaimanapun, dakwanya, terdapat banyak aduan terhadap Apandi, termasuk cubaan melindungi kesalahan.

Mahathir kemudian mencadangkan Tommy Thomas sebagai AG baru, yang mendapat persetujuan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 5 Jun 2018.

Thomas mengundurkan diri daripada jawatan itu awal tahun ini, selepas rampasan kuasa politik yang menyaksikan keruntuhan kerajaan PH yang digantikan oleh Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Mk

Sri Ram tidak pernah jelaskan bukti terhadap Najib, kata Apandi

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker