Biden pilih Rice ketuai Majlis Dasar Domestik
WASHINGTON: Presiden Amerika (AS) yang dipilih, Joe Biden semalam mengumumkan beberapa pencalonan pentadbiran, termasuk pegawai era Barack Obama.
Ia termasuk bekas penasihat keselamatan negara, Susan Rice sebagai pengarah Majlis Dasar Domestik Rumah Putih dan bekas ketua kakitangan, Denis McDonough sebagai setiausaha urusan veteran.
Pelbagai pencalonan dan pelantikan itu diumumkan dalam dalam kenyataan dari pasukan peralihan presiden Biden.
Rice adalah calon untuk setiausaha negara, tetapi beliau dijangka menghadapi tentangan sengit dari Republikan dalam proses pengesahan Senat berhubung peranannya dalam krisis Benghazi pada 2012.
Selain itu, penasihat Biden, Antony Blinke juga adalah calon untuk peranan berprestij dalam kabinet itu.
Mengetuai Majlis Dasar Domestik akan memastikan Rice, 56, masuk ke dalam kelompok dalaman Rumah Putih yang dipilih oleh presiden, tetapi ia mungkin dilihat sebagai pelantikan mengejutkan memandangkan pengalamannya dalam dasar luar.
Kedudukan terbabit tidak memerlukan pengesahan dari Senat.
McDonough, yang memegang banyak peranan dalam pemerintahan Obama, telah dicalonkan untuk memimpin agensi veteran yang dilanda skandal dalam beberapa tahun kebelakangan, manakala Tom Vilsack, setiausaha pertanian Obama selama dua penggal, telah dicalonkan untuk jawatan sama di bawah Biden.
Biden juga memilih pakar perdagangan antarabangsa, Katherine Tai untuk menjadi wakil perdagangan AS dan anggota kongres Marcia Fudge untuk bertugas sebagai setiausaha perumahan dan pembangunan bandar. – AFP