[VIDEO] Dakwaan Vaksin China Tak Selamat Tidak Berasas

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan dibuat sebuah akhbar mengenai vaksin yang dikeluarkan China sebagai tidak selamat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ini kerana negara itu sudah sekian lama mengeluarkan vaksin di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk pelbagai penyakit termasuk polio, influenza, Hepatitis A serta Japanese Encephalitis (JE).

Justeru, beliau menafikan dakwaan dibuat akhbar mingguan yang diedarkan secara percuma itu memandangkan China terbukti mempunyai pengalaman dalam menghasilkan vaksin.

“Sekarang ini, ia adalah vaksin baharu yang memerlukan kajian. Setakat ini ada 12 vaksin dalam kajian fasa ketiga dan KKM masih menunggu dokumen membabitkan kajian itu.

“Kita akan melihat keberkesanan serta kesan samping vaksin itu,” katanya pada sidang media COVID-19 hari ini.

Mengulas kerjasama Malaysia dengan China dalam melaksanakan ujian klinikal vaksin COVID-19 di negara ini, Dr Noor Hisham berkata, mesyuarat Jawatankuasa Penyelidikan Etika Perubatan hari ini sedang melihat vaksin dihasilkan Institut Molekular Biologi di Beijing, China.

Beliau berkata, vaksin itu, apabila diluluskan jawatankuasa berkenaan kelak, akan digunakan terhadap 3,000 peserta di lapan hospital dikenal pasti sebelum ini.

“Kita akan menunggu keputusan itu dan jika ia diluluskan jawatankuasa berkenaan, barulah kita boleh perkenalkan di hospital yang sudah dinamakan.

“Ini adalah kajian untuk melihat keberkesanan dan kesan sampingan vaksin di negara kita, yang mempunyai populasi berbeza dengan penduduk China.

“Kami juga sedang memantau kajian terhadap vaksin lain dan setakat ini belum ada kes (kesan sampingan) vaksin dilaporkan kepada KKM,” katanya.

Vaksin Covid-19, Malaysia tandatangan bekalan 5 tahun dah bangunkan R&D dengan China

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker