Kemelut Politik Perak: Pimpinan BERSATU, PAS Perak sokong keputusan pusat angkat Saarani

 

IPOH : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS mengambil pendirian bersama dan menyokong ketetapan yang diputuskan kepemimpinan tertinggi parti.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, sokongan kepada Menteri Besar baharu dibuat sebaik semua pemimpin utama dari BERSATU, UMNO dan PAS sepakat untuk memilih ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad.



“Kita sudah pun mendapat kata sepakat oleh pucuk pimpinan dan di peringkat negeri, kita menzahirkan apa yang diputuskan oleh ketiga-tiga presiden (PAS, BERSATU dan UMNO)

“SD (akuan bersumpah) sudah ditandatangani mengikut keputusan (yang sudah disepakati tiga presiden itu),” katanya ketika ditemui media di pekarangan Istana Kinta di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga ADUN Gunong Semanggol, bersama dua lagi ADUN PAS, Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya dilihat memasuki istana kira-kira jam 4.24 petang bagi mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Kita cuma membawa mandat yang diputuskan ketiga-tiga presiden yang bermesyuarat tadi dan kita hanya membawa (mempersembahkan SD) kepada Tuanku,” katanya ketika ditanya sokongannya terhadap Saarani.



Perak Hanya Permulaan, Putrajaya Bakal Menyusul?

BERSATU, PAS dan UMNO hari ini bersetuju mencadangkan Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan yang dihadiri Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Perdana Menteri; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.



Sementara itu, ADUN Sungai Manik dari BERSATU, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, keputusan yang dibuat mereka adalah hasil persefahaman tiga presiden parti itu.

“Kami membuat keputusan berdasarkan persefahaman yang diambil di peringkat pusat oleh Presiden parti BERSATU, PAS dan UMNO. Itulah keputusan yang kami sembah maklumkan kepada Sultan Perak,” katanya ditemui sebaik selesai mengadap Sultan Nazrin.

Zainol Fadzi yang juga Setiausaha BERSATU Perak, berkata, selain beliau, empat lagi SD sokongan yang dipersembah kepada Sultan Perak adalah dari ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari; ADUN Buntong dari GERAKAN, S Subramaniam serta ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, yang juga wakil rakyat Bebas.

“Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (ADUN Titi Serong) sudah datang (serah SD) semalam,” katanya turut memaklumkan ADUN Chenderiang yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menyerahkan SD, namun secara berasingan.



Beliau berkata, kehadirannya ke istana juga atas arahan Ahmad Faizal, yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Perak, sebagai menyatakan sokongan terhadap keputusan presiden parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Kemelut Politik Perak: Apa Jalan Penyelesaian?

Sementara itu, Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata parti itu menyokong penuh setiap keputusan yang diambil oleh Perikatan Nasional (PN) Perak dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.



Katanya, pendirian GERAKAN adalah untuk menyokong PN yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ADUN tunggalnya dalam DUN Perak, A Sivasubramaniam (Buntong) menyokong usul undi percaya terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Jumaat lalu.

“Parti GERAKAN menyokong penuh segala formula yang diputuskan oleh kepimpinan PN termasuk memberi sokongan kepada calon menteri besar baharu yang dipersetujui oleh PN. Kami juga berharap kemelut politik di Perak dapat diselesaikan.,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata selepas krisis politik diselesaikan, kerajaan negeri Perak yang baharu perlu fokus semula dalam usaha memulihkan ekonomi negeri, bekerjasama dengan Pusat dalam membendung wabak pandemik COVID-19 dan membantu rakyat mengatasi cabaran pada masa kini.



BERITA BERKAITAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker