Rina Harun kena ‘gasak’ dengan MP wanita PH
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun digasak hebat oleh para ahli parlimen wanita pembangkang di Dewan Rakyat.
Ini selepas Rina dikatakan gagal menjawab dengan baik terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan mereka pada sidang parlimen hari ini.
Tiga wakil rakyat PH – Hannah Yeoh (PH – Segambut), Kasturi Patto (PH – Batu Kawan) dan Teo Nie Ching (PH – Kulai) – antara 11 ahli parlimen yang membahaskan peruntukan berjumlah RM2.584 juta kepada kementerian itu dalam Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021.
Antaranya, isu berkenaan Rang Undang-undang (RUU) Gangguan Seksual yang dibangkitkan Kasturi, yang digagaskan semasa zaman PH.
Kasturi bertanyakan mengapa dokumen RUU itu tersangkut sehingga mengambil masa yang begitu lama untuk dibentangkan.
Menjawab soalan itu, Rina menjelaskan ia telah diserahkan kepada jabatan peguam negara (AGC) namun ada penambahbaikan yang harus dilakukan.
“Bilakah akta ini akan dibentangkan. Kenapa hampir satu tahun masih duduk dalam AGC? Takkan mereka tak tahu buat kerja,” soal Kasturi.
“Kita nak tambah baik,” jawab Rina yang memberi jaminan RUU itu akan diteruskan seperti rancangan terdahulu.
Pada Julai, Rina berkata RUU itu dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.
Yeoh pula mempersoalkan kenapa kempen tayangan lima video pendek pendidikan seksual berkenaan sentuhan selamat dan tidak selamat di Youtube dengan kerjasama Google telah dihentikan.
Peruntukan yayasan salur ke Wanita Bersatu?
Kata bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu, berdasarkan statistik, sejak 21 Jun hingga 11 Dis 2019, kempen video itu mencatatkan 4.27 juta tontonan, 9.34 juta impresi dan 120,000 klik sebelum diberhentikan.
Rina bertegas tiada arahan diberikan untuk menghentikan kempen itu, malah katanya, kementerian terus mempromosi video kesedaran dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, bukan hanya menyasarkan kanak-kanak tetapi juga orang kurang upaya dan kumpulan rentan lain.
Tingkah Yeoh, kanak-kanak tidak akan pergi ke laman web kementerian untuk menonton propaganda kerajaan, sebaliknya, jelasnya, kempen terdahulu membolehkan video kempen disiarkan sebagai iklan Youtube untuk video-video popular seperti Baby Shark.
Yeoh turut mempersoalkan peruntukan diluluskan untuk 30 sukarelawan Yayasan Kebajikan Negara yang disalurkan kepada ahli sayap Wanita Bersatu (Srikandi).
Diasak berkali-kali berhubung hal itu, ketua Srikandi itu menjawab latar belakang politik tidak menjadi faktor pemilihan sukarelawan itu yang layak mendapat elaun RM1,000 setiap bulan.
Teo pula menuntut Rina memberi penjelasan berhubung janji yang dikatakan dibuat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Facebook berhubung peningkatan bantuan bulanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada RM1,000 sebulan, termasuk kepada OKU.
Meskipun pada mulanya tidak menjawab soalan itu, Rina akhirnya berkata akan menjawab secara bertulis mengenai hal tersebut setelah Teo bangkit menuntut jawapan. Mk
You must be logged in to post a comment.