UMNO, Pas, Bersatu perlu kerjasama demi survival politik – Ridhuan

UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu saling bekerjasama antara satu sama lain demi survival politik negara, kata Pensyarah Pusat Pengajian Teras Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Oleh kerana saling memerlukan antara satu sama lain, justeru Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mengingatkan ketiga-tiga parti berkenaan mengorak langkah yang lebih matang demi Muafakat Nasional (MN) dan juga Perikatan Nasional (PN).

Bagi Mohd Ridhuan, UMNO selaku parti yang lama yang disifatkannya sebagai big brother perlu lebih matang dan membuang ego.

Jelasnya, UMNO mempunyai tugas besar iaitu memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN), bukan meninggalkan Pas dan Bersatu.

Perkara yang sama juga diingatkannya kepada Bersatu yang pada beliau perlu menguruskan sikap dengan lebih baik meskipun sedang berkuasa.

“UMNO, jangan tinggal Pas dan PPBM kerana di situlah kekuatan UMNO selaku big brother sebenarnya untuk kembali berkuasa.

“Tidak ada parti yang boleh berkuasa bersendirian. Saya merayu kepada UMNO, yang dilabelkan sebagai big brother, pastikan label big brother itu mematangkan. Bukan melebarkan lagi ego. Tugas besar UMNO adalah perkukuhkan PN, walaupun pahit berhadapan dengan Bersatu.

“Bersatu perlu ingat, kamu datangnya daripada UMNO. Luka UMNO bertambah dalam apabila kamu melompat. Memang sukar untuk UMNO menerima tetapi itulah realiti.

“UMNO tidak perlu lagilah ulang-ulang menyeru Bersatu kembali kepada UMNO. Sukar untuk berlaku dalam jangka masa pendek ini. Bila hati telah retak. Teruskan usaha untuk perkukuhkan UMNO, sebab dalam UMNO sendiri, ramai tidak berperangai seperti UMNO dahulu.

“Bersatu jangan bawa perangai lama. Uruskan ego, walaupun hari ini, mungkin kamu berkuasa. Esok lusa bila berlaku PRU-15, keadaan mungkin berbeza. Perkukuhkan parti sendiri. Pastikan ia ada identiti sendiri, lain sedikit daripada UMNO dan Pas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

UMNO tambah Ridhuan akan kehilangan sokongan Melayu sekiranya bekerjasama dengan DAP.

Dalam pada itu, Pas pula jelasnya perlu berperanan sebagai pendamai antara UMNO dan Bersatu khususnya selepas apa yang berlaku di Perak baru-baru ini.

Ridhuan juga mengingatkan ketiga-tiga parti tidak termakan hasutan musuh khususnya dalam isu krisis politik di Perak yang akan memberi kesan kepada Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Kepada Pas pula, dahulu kamu susah. Sudah mengajar kamu erti ikhlas dalam berjuang. Kini, mungkin dah senang sikit sebab berada dalam kerajaan. Teruskan berjuang dengan ikhlas. Damaikanlah UMNO dan PPBM.

“Jangan termakan dengan hasutan musuh. Dalam laman media sosial hari ini, musuh-musuh sedang menghasut, untuk mempercepatkan terkuburnya hayat MN dan PN, agar mereka dapat berkuasa kembali. Adakah ini yang kita mahu? Pas mesti terus kuat berusaha untuk terus menyatukan UMNO dan Bersatu,” katanya lagi. MG

The Reason Why Some In Umno Are Angry With Muhyiddin And Might Support Anwar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker