PAS enggan sertai kerajaan baharu Perak, apakah maksudnya?



Sebaran :

KUALA LUMPUR: PAS mahu mempertahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak dan enggan menyertai kerajaan baharu yang akan dibentuk susulan peletakan jawatan Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, selepas hilang sokongan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kerjasama PAS dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) akan diteruskan di Perak dan peringkat nasional.

Katanya, mengenai situasi di Perak, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat majlis pimpinan tertinggi kedua-dua parti.



“MN akan bermesyuarat dalam waktu terdekat mengenai perkembangan semasa isu di Perak.

“Buat masa ini belum ada apa-apa rundingan di antara UMNO dan PAS mengenai perkara berkenaan, walaupun kita ada dengar UMNO meminta kita untuk terus bersama mereka,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian ditanya mengenai pendirian parti itu dengan perkembangan terbaru situasi di Perak.



Pagi tadi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta bagi sembah maklum pendirian parti berhubung kemelut terkini politik negeri itu.

PAS Perak akan pertahan Kerajaan PN

Ahmad Zahid menjelaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan untuk membentuk jajaran baharu politik di Perak.

Beliau berkata, pihaknya seboleh mungkin mengekalkan jajaran politik kerajaan PN.



Sebelum ini, PAS menyatakan tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan Perak yang baharu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hasan berkata PAS akan terus berperanan sebagaimana biasa dalam masyarakat pada peringkat negeri, mahupun nasional.

Mengenai menghadap sembah Ahmad Zahid dengan Sultan Perak berhubung kemelut politik di negeri itu pagi tadi, Tuan Ibrahim berkata, buat masa ini PAS belum mendapat maklumat lanjut mengenai pertemuan itu.



Katanya, PAS tetap dengan pendirian tidak menyertai pembentukan kerajaan Perak yang baharu.

“Apa pun bagi PAS, MN akan terus dipertahan dan kita harap kemelut di Perak ini tidak akan membabitkan (kerjasama) di negeri lain dan semuanya diuruskan dengan baik,” katanya.


Sebaran :


Leave a Reply