Penjajaran politik di Perak? Ini kemungkinan yang bakal berlaku…

SIAPA calon Menteri Besar Perak yang baharu? Itu persoalan yang bermain dalam fikiran rakyat terutama warga Perak.
Namun, pada ketika ini, itu bukan soalan utama yang perlu dijawab.

Sebaliknya, apakah bentuk gabungan atau penjajaran politik yang bakal berlaku perlu dijawab terlebih dahulu.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Annuar Zaini ketika bertemu media di perkarangan Istana Kinta tengah hari tadi berkata, mereka (parti politik) masih lagi berunding.

Ia sekali gus memberi cerminan bahawa belum ada parti yang mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.



Terdapat beberapa pilihan penjajaran politik yang dilihat mungkin berlaku di Perak ketika ini.

1. UMNO + Bersatu + Pas (status quo)

UMNO yang mempunyai kerusi terbanyak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dijangka berperanan sebagai ‘big brother’ dalam situasi ini.
Selepas mereka menolak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, adakah mereka mampu meyakinkan semula Bersatu untuk bersama mereka?

Pas menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata partinya tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan Perak yang baharu.



Namun, kenyataan Takiyuddin itu tidak menyatakan secara jelas sama ada mereka akan menyokong gabungan itu sekiranya masih mengekalkan status quo.

Di peringkat negeri, semuanya masih mengunci mulut berkenaan pembentukan ini.

2. UMNO + DAP + PKR + Amanah

Penjajaran ini dilihat sukar untuk direalisasikan, namun ia tidak mustahil untuk berlaku.



Selama ini, UMNO lantang menyatakan ‘no DAP, no Anwar’. Itu mesej jelas UMNO pada ketika itu.

Namun, UMNO Perak bukan seperti UMNO Sabah – yang mempunyai kuasa autonomi; boleh membuat keputusan tanpa perlu keputusan dari UMNO Pusat.

3. UMNO + PKR + Amanah

UMNO sebelum ini tegas menyatakan ‘No DAP, No Anwar’; bukannya ‘No PKR’. Apakah UMNO kini boleh bekerjasama dengan PKR?



Adakah PKR dan Amanah sanggup meninggalkan rakannya DAP dalam pembentukan Kerajaan Negeri Perak yang baharu ini?

Persoalan ini perlu dijawab terlebih dahulu sebelum kita mengetahui siapakah nama calon Menteri Besar yang akan dikemukakan ke istana.

Jadi, sekiranya status quo bertukar, berkemungkinan penjajaran ini bakal menggoncang pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat. Awani

Perak Hanya Permulaan, Putrajaya Bakal Menyusul?



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker