Mengigil Lihat Gajah Depan Mata

Kluang: Seorang peniaga di Pekan Kahang menggigil ketakutan apabila menyedari kelibat yang melintas di hadapan kedainya awal pagi tadi adalah seekor gajah liar.

Fazreen Mohamad, 35, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika dia sedang bersiap untuk memulakan perniagaan di Pasar Awam di pekan berkenaan.

Katanya, sejak lebih 10 tahun berniaga di situ, ini adalah pertama kali dia berdepan situasi itu.

Katanya, selama ini dia hanya mendengar cerita gajah liar masuk ke penempatan manusia di sekitar Kahang tetapi kali ini dia melihatnya dengan mata sendiri.

“Hanya kelibat seekor gajah kelihatan merayau di kawasan pekan kerana mungkin ia terpisah daripada kumpulan besar.

“Beberapa peniaga dan orang ramai yang menyedari kehadiran gajah itu membuat bunyi bising untuk menghalaunya,” katanya yang turut merakam gambar haiwan itu.

Menurut Fazreen, kejadian berlaku hanya sekitar 30 minit sebelum gajah itu menghilangkan diri dipercayai memasuki ladang kelapa sawit berhampiran.

“Nasib baik pada waktu itu orang ramai masih belum datang ke pasar, jika mungkin berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor Salman Saaban berkata, gajah berkenaan dipercayai tersesat dan terpisah daripada kumpulannya.

Katanya, anggota Perhilitan Kluang akan diarahkan untuk melakukan siasatan kerana kehadiran haiwan itu merosakkan pagar di Balai Polis Kahang.

“Orang ramai diingatkan supaya menjauhkan diri sekiranya terserempak dengan gajah bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya-HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker