Keputusan usul undi percaya pada MB Perak, Penantian Yang Mendebarkan



Sebaran :

Di sebalik kehangatan Belanjawan 2021, politik Perak turut mencuri perhatian ramai terutama apabila menteri besarnya, Ahmad Faizal Azumu, bakal berdepan dengan usul undi percaya di DUN.

Walaupun ia bukan berbentuk undi tidak percaya, ia boleh dianggap serampang dua mata juga kerana kegagalan usul itu mendapat sokongan majoriti juga bermakna kepemimpinan timbalan presiden Bersatu itu ditolak di Perak.

Ironinya, usul undi percaya kemungkinan akan dikemukakan selepas pembentangan Belanjawan 2021 Perak oleh Ahmad Faizal.



Speaker DUN Perak Mohamad Zahir Abdul Khalid pagi ini membenarkan usul tersebut dibawa ke depan, sebelum Belanjawan 2021 Perak dibentangkan.

“Usul tersebut usul persendirian. Mengikut peraturan mesyuarat, agenda kerajaan mestilah didahulukan.

“Bajet negeri adalah agenda kerajaan,” katanya.



Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang akan membentangkan Belanjawan 2021 Perak sekitar pukul 11 pagi hari ini.

Persoalannya, mampukah Ahmad Faizal memperolehi undi percaya dalam kalangan Adun Perak sekali gus dilihat sebagai gambaran masa depan politiknya di Perak.

Apa nasib Menteri Besar Perak?

Ada usaha pujuk tarik usul



Lebih-lebih lagi usul itu dibawa oleh Adun Umno yang mewakili Pengkalan Baru, Abd Manaf Hashim. Untuk rekod Umno merupakan sekutu Bersatu dalam kerajaan negeri.

Menurut satu sumber Umno, keputusan hari ini diambil secara en-bloc sekiranya usul undi percaya itu dibincangkan.

“Umno ada 25 Adun di Perak. Saya cuma tidak pasti seorang sahaja. Yang lain, sebulat suara menyokong sebarang keputusan dari Umno Perak dan juga Umno pusat.



“Sokong atau tolak, kami akan buat secara sama-sama,” kata Adun Umno itu yang enggan namanya didedahkan.

Bagaimanapun, dia tidak menghuraikan lanjut mengenai keputusan Umno berhubung usul tersebut.

“Lihat sahaja esok (hari ini),” tambahnya.



Sementara itu, satu lagi sumber Umno yang terdekat dengan pucuk pimpinan pusat memberitahu Malaysiakini, usaha Ahmad Faizal memujuk pucuk pimpinan Umno untuk tarik balik usul tersebut tidak berjaya.

“Beliau (Ahmad Faizal) berjumpa dengan seorang pemimpin dari pucuk pimpinan Umno pada 30 November di Kuala Lumpur.

“Pujukan untuk tarik balik usul tersebut tidak berjaya.



 

“Ini kerana usul undi percaya itu adalah keputusan Umno Perak. Maka, Umno pusat bercadang tidak campur tangan,” katanya.

Usaha Malaysiakini menghubungi Pengerusi Umno Perak Saarani Mohammad sejak semalam tidak berjaya.

Untuk rekod, Umno merupakan parti yang memiliki kerusi terbanyak dalam DUN Perak dengan 25 kerusi, diikuti DAP sebanyak 16, manakala Bersatu enam Adun, Amanah lima dan masing-masing tiga daripada PKR dan PAS, selain seorang wakil bebas.

PKR akan tolak usul undi percaya terhadap MB Perak



Bersidang lima hari

Ahmad Faizal memerlukan sekurang-kurangnya 30 undi untuk kekal sebagai menteri besar.

Sementara itu, seorang pemimpin PKR dari Perak mengesahkan bahawa Umno mengadakan beberapa siri perjumpaan dengan Pakatan Harapan (PH) Perak.

“Kami telah adakan beberapa perjumpaan sebelum ini. Kalau mengikut perjumpaan itu, saya boleh agak ada beberapa Adun Umno akan tolak undi percaya terhadap MB.

“Namun, ia masih awal. Mungkin Bersatu akan membuat sesuatu untuk mententeramkan geng ini (tidak sokong). Kita tidak tahu. Kita lihat nanti,” katanya.

PKR telah pun mengumumkan bahawa akan menolak undi percaya terhadap MB Perak itu yang menubuhkan kerajaan PN pada Mac lalu bersama Umno dan PAS.

Sumber DAP pula memberitahu bahawa akan mengikut langkah PKR.

“Kami akan menolak jika usul dibawa hari ini. Pagi tadi kami (15 orang) telah menghantar surat kepada speaker meminta undi belah bahagi,” katanya.

Kedudukan Amanah masih tidak jelas, selepas salah seorang Adun dari parti itu didakwa tidak sehaluan dengan keputusan PH Perak untuk tolak belanjawan.

“Mungkin dia (Adun Amanah) terkecuali (tidak undi mana-mana pihak),” kata sumber DAP itu lagi.

Sementara itu, sumber DAP itu juga tidak menolak kemungkinan usul itu tidak akan dibahaskan hari ini.

“Kami masih tak pasti. Sebab hari ini ada bajet. Tidak jelas bagaimana nak bahas undi percaya pada hari yang sama.

“Mungkin Jumaat depan, tak jelas lagi,” katanya.

Untuk rekod, sidang DUN Perak diadakan selama lima hari bermula hari ini sehingga Jumaat depan namun tiada persidangan pada hari Isnin.

Pemuda Pas sokong undi percaya MB Perak


Sebaran :


Leave a Reply