Usia persaraan Malaysia ditingkatkan kepada 65 tahun, cadang Bank Dunia
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu meneliti semula dasar had usia persaraan berikutan statusnya sebagai negara mempunyai masyarakat berusia atau menua.
Wakil dan Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia di Malaysia, Firas Raad, berkata aspek demografi Malaysia berganjak ke era dengan kadar kesuburan dan kematian rendah berbanding paras lebih tinggi sebelum ini.
“Malaysia melangkaui pencapaian bermakna dalam trajektori pembangunannya tahun ini dan negara dengan masyarakat menua berdasarkan takrifan konvensyen antarabangsa, iaitu 7 peratus atau lebih penduduk berusia 65 tahun dan ke atas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Firas juga menekankan kemampuan mencecah usia lebih lanjut sedemikian juga bermakna rakyat negara ini perlu bekerja bagi tempoh lebih lama.
Jika dibandingkan dengan negara berpendapatan tinggi dan pertengahan tinggi lain pada masa ini, Firas berkata, kadar pekerjaan individu berusia 55 hingga 64 tahun di negara ini adalah rendah, khususnya dalam kalangan wanita.
Malah sebagai perbandingan, katanya, negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Thailand menyaksikan lebih 65 peratus rakyat berusia 55-64 tahun masih aktif dalam pasaran tenaga kerja.
“Bagaimanapun di Malaysia, golongan itu adalah 45 peratus,” katanya.
Sehubungan itu, Firas berkata, antara pilihan dasar berkenaan adalah dengan meningkatkan had minimum usia persaraan yang rendah secara beransur-ansur daripada 60 tahun kepada 65 tahun dan seterusnya dikaitkan dengan unjuran jangka hayat selepas itu.
Beliau menyifatkan dasar sedemikian diperlukan bagi menggalakkan pekerjaan produktif dan inklusif untuk semua pekerja, termasuk golongan berusia menerusi pekerjaan kurang memerlukan fizikal serta persekitaran tempat kerja dilengkapi pengupayaan secara digital.
“Pilihan dasar pertama adalah menyediakan peluang dengan peningkatan aspek latihan dan pembelajaran sepanjang hayat yang mengambil kira keadaan khusus golongan pekerja berusia lebih tua.
“Ini pada akhirnya dapat mewujudkan rangka kerja kawal selia untuk pekerjaan produktif dan fleksibel untuk pekerja terbabit selain mempermudah pekerjaan secara separuh masa atau lain yang anjal,” katanya.
Pada masa sama, Firas turut menekankan kepentingan untuk menangani isu atau kekangan dihadapi wanita berkaitan kerja.
Menurutnya, inisiatif relevan itu termasuk penyediaan kemudahan penjagaan anak berkualiti dan berpatutan; pembaharuan persekitaran perundangan berkaitan; menambah baik sokongan untuk ibu bapa sejajar norma perundangan antarabangsa serta dasar menangani aspek jantina dan sikap.
“Pada akhirnya, gabungan dasar tepat ini dapat membantu Malaysia menangani masyarakat yang menua, mempertingkat kesejahteraan semua dan meningkatkan perkongsian bahawa pengalaman mengharungi usia tua bukanlah bebanan tetapi fasa kehidupan penuh dengan kebebasan, penyertaan sosial dan produktiviti,” katanya. – BERNAMA
You must be logged in to post a comment.