Restoran Pakistan tawar makanan percuma

SHAH ALAM: Dalam membantu meringankan beban golongan terkesan akibat pandemik Covid-19, pemilik restoran Taste of Pakistan di Setia Alam, di sini menawarkan makanan secara percuma kepada pelanggan kurang berkemampuan sejak hujung Oktober lalu.

Pemiliknya, Faisol Munjir, 41, berkata, pendekatan itu tercetus apabila melihat ramai masyarakat mengalami kemerosotan ekonomi akibat Covid-19.

Jelas Faisol, hatinya tersentuh apabila ada pelanggan yang hanya berada di kawasan restoran itu namun tidak mampu membayar makanan sebelum ini.

“Oleh demikian, saya dan rakan perniagaan bersetuju menawarkan makanan secara percuma kepada golongan itu pada setiap masa.

“Mereka tidak perlu malu dan hanya memaklumkannya kepada pekerja kami termasuk juruwang restoran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di restoran itu hari ini.

Inisiatif restoran makanan Pakistan di Seria 88 itu tular di media sosial yang memaparkan notis ‘Sesiapa yang tidak berkemampuan, boleh makan di restoran kami, makanan Fi Sabilillah’.

Usaha itu menerima reaksi positif netizen yang menyifatkan restoran berkenaan mengutamakan saham akhirat iaitu pahala sebagai ganti kepada mata wang dunia.

Tambah Faisol yang sedang berjuang melawan penyakit leukimia, konsep itu turut diambil menerusi kedai Fi Sabilillah yang ada di Makkah.

“Sewaktu mengetuai sebuah agensi pelancongan sebelum ini, saya mendapati wujud banyak kedai di kota suci itu yang menggunakan konsep restoran percuma tersebut.

“Kini, saya berasakan konsep sedekah seumpama itu perlu diamalkan bagi berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai faktor kerugian terutama pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ujarnya, perniagaan restoran itu berjalan lancar setakat ini biar pun mengakui berlaku sedikit penurunan hasil pendapatan.

“Bagi saya, apa yang penting adalah keikhlasan dan Allah sentiasa ada untuk memberi rezeki kepada kita,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Al-Quran dan Qiraat Shoubra di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Restoran Taste of Pakistan yang mula beroperasi sejak April lalu itu menyediakan makanan asli Pakistan seperti nasi beriyani, nasi Arab, roti nan cheese dan teh masala.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker