PN tubuh Majlis Presiden demi kukuhkan PPBM, kata penganalisis

Seorang penganalisis politik berkata, keputusan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan Majlis Presiden bertujuan mengukuhkan kedudukan PPBM dalam gabungan parti pemerintah itu supaya ia setara dengan Umno dan PAS.

Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, PPBM perlu menerima hakikat ia tidak mempunyai penyokong di peringkat akar umbi seperti Umno dan PAS.

“Majlis Presiden ini hanya ambil model dari Umno, apa yang mereka lakukan itu serupa saja. Ini juga untuk kukuhkan PPBM. Umno dan PAS sedia maklum mereka ini sudah kukuh, manakala PPBM pula bergoyang dan tidak kuat.

“Pada saya, PPBM mencari ruang untuk memegang kekuatan dan menghasilkan kekuatan, sebabnya dia langsung tidak ada penyokong di bawah. Dari dulu saya katakan, parti yang mempunyai akar umbi paling kuat di Malaysia adalah Umno,” katanya kepada FMT.

Selasa lalu, mesyuarat Majlis Tertinggi PN bersetuju menubuhkan Majlis Presiden sebagai platform untuk membincangkan dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti, selain memperkemaskan gabungan parti anggota dan persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Shamsul Amri berkata, sehingga kini tiada petanda jelas sama ada Muafakat Nasional (MN) lebih kuat daripada PN atau sebaliknya, tetapi dapat diperhatikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hanya memiliki kekuatan eksekutif, bukannya kuasa politik.

“Dia tidak ada kuasa, dia hanya ada kuasa perdana menteri,” katanya.

Ketika ini, PN dianggotai PPBM, PAS, Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP). Julai lalu, Umno mengesahkan ia tidak menyertai PN secara rasmi, sebaliknya berhasrat memperkasakan gagasan MN bersama PAS dan kepimpinan dalam komponen BN.

Tetapi, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada Oktober lalu berkata, parti itu mengambil keputusan menyokong kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, tanpa penyertaan aktif Umno dalam PN, gabungan itu tidak cukup kuat untuk mendominasi MN.

“MN yang memiliki kuasa sebenar dan ia mampu diterjemahkan dalam bentuk undi. Keanggotaan Umno saja mempunyai keahlian hampir 4 juta, yang belum digerakkan dan dimanfaatkan sepenuhnya pimpinan Umno.”

Beliau berkata, kerjasama PAS dalam PN dan MN sedikit sebanyak akan menjejaskan hubungan parti itu dalam kedua-dua gabungan terbabit kerana setiap gabungan mempunyai pendirian masing-masing.

“Dalam isu ini, PAS sukar diyakini untuk meneutralkan pendirian parti dalam PN dan MN, memandangkan mereka terbabit dalam 2 gabungan ini kerana PAS sendiri melihat manfaat dan kepentingan parti itu demi kelangsungan politik sendiri.

“Namun, PAS boleh saja bekerjasama dengan PPBM sehingga pilihan raya. Tetapi, jika Umno mendominasi kemenangan, maka PAS akan berpatah balik selagi Umno mampu memberikan manfaat dalam bentuk kuasa dan jawatan dalam kerajaan.” FMT

Patutlah PAS Sayang Lebih Pada Bersatu Berbanding UMNO…

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker