Kerjasama Umno-PAS belum cukup untuk kuasai kerajaan, kata penganalisis

Terkini di My KMU !!!!---->

Ketika Umno menunjukkan keyakinan mereka mampu menguasai semula kerajaan hanya dengan kerjasama PAS, penganalisis politik masih berhati-hati dengan andaian tersebut.

Sesetengahnya percaya Umno masih perlukan bantuan parti lain untuk mencapai matlamat tersebut, terutama bagi memenangi kerusi di kawasan pengundi campuran.

Mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, yang dikeluarkan semalam, Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Dr Hamidin Abd Hamid berkata penerimaan kerjasama PAS dan Umno di Sabah serta Sarawak masih menjadi tanda tanya ketika ini.

“Sebenarnya kalau kerjasama PAS dan Umno sahaja, mereka masih lagi tidak dapat menguasai parlimen seperti yang mereka kehendaki.

“Mereka juga terpaksa atau mesti mendapatkan kerjasama daripada parti yang boleh bersifat campuran, boleh memenangi kerusi campuran dan juga di kawasan-kawasan bandar, terutamanya di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kelmarin, Khaled secara terbuka menyatakan matlamat Umno sekarang ialah mahu menguasai semula kerajaan dan ia boleh dicapai hanya melalui kerjasama dengan PAS.

Kata bekas menteri besar Johor itu Umno dan PAS memiliki kekuatan yang berbeza.

Ketika Umno mempunyai pengaruh dan akar umbi lebih besar, kata Khaled, PAS pula mempunyai kelebihan tersendiri mewakili orang Melayu.

Tak selesa ada Bersatu

Untuk rekod, Umno mempunyai jumlah kerusi terbesar, 38 dalam PN berbanding parti-parti lain dalam gabungan itu. https://newslab.malaysiakini.com/battle-for-putrajaya/en

Hamidin berkata, Umno mungkin berasa lebih selesa bekerjasama dengan PAS berdasarkan pembentukan Muafakat Nasional yang dimeterai ketika Bersatu berada dalam kerajaan Pakatan Harapan lagi.

Pun begitu katanya Umno masih perlu berdepan dengan cabaran perebutan kerusi dengan PAS di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Ini kerana, menurut Hamidin, PAS tentu tidak akan selesa jika kekal hanya menguasai tiga negeri sahaja seperti sekarang iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Katanya, terdapat kemungkinan besar PAS akan menuntut untuk diberikan kerusi di kawasan yang ditandingi Umno juga.

“Jadi saya melihat ia memainkan peranan mengapa Khaled Nordin dan kumpulan tertentu dalam Umno tidak menerima secara selesa keberadaan Bersatu dalam Muafakat Nasional,” katanya.

Prof Omar Rusdi dari Universiti Utara Malaysia pula berpandangan, tidak dinafikan kerjasama dalam Muafakat Nasional dilihat kukuh hari ini tetapi kekuatan tersebut tidak dijamin dapat diterjemahkan pada masa akan datang.

Rombak untuk jaga hati

“Kerana mereka mempunyai agenda parti yang berbeza. Kalau agenda dan wadah sama, saya ingat tak ada masalah, tetapi sekarang mereka berbeza pandangan dalam pembentukan kerajaan PN.

“Saya tak nafikan Muafakat Nasional kuat sekiranya benar-benar direalisasikan tetapi kebelakangan ini hubungan dua parti ini jadi renggang kerana mereka berbeza pandangan tentang pembentukan PN,” katanya.

Dia turut sependapat dengan Hamidin mengenai matlamat menawan Putrajaya penting melibatkan Sabah dan Sarawak.

Namun Omar berkata, untuk menyelamatkan kedudukan dalam PN, Bersatu mungkin perlu berkompromi dalam pembentukan kabinet sedia ada hari ini.

Contohnya melakukan rombakan kabinet untuk menjaga hati parti lain yang mempunyai bilangan kerusi lebih besar.

Sementara itu, Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata PN yang diketuai Bersatu perlu memikirkan cara untuk bertahan dan tidak dikuasai oleh pengaruh dari gabungan Muafakat Nasional.

“Ketika ini kedudukan Bersatu dalam PN adalah kukuh cuma PN tidak kukuh jika tidak dianggotai Umno.

“Sebab itu kritikal bagi kelangsungan PN untuk memastikan penyertaan Umno dalam gabungan itu demi mengelakkan peranannya diambil alih oleh Muafakat Nasional,” kata Azmi.

Tambahnya mesej mudah dalam keadaan sekarang ialah, Umno lebih condong ke arah Muafakat Nasional berbanding PN.

“Ini adalah senario semasa, tetapi keputusan sama ada Muafakat Nasional atau PN yang akan jadi tunjang parti orang Melayu bergantung kepada PAS, bukannya Umno atau Bersatu,” katanya. Mk

Awas usaha runtuhkan hubungan BN-Pas

One thought on “Kerjasama Umno-PAS belum cukup untuk kuasai kerajaan, kata penganalisis

  • December 4, 2020 at 07:25
    Permalink

    Penganalisis mna yg keluarkan statement bodoh ni..

    Reply

Leave a Reply