Agong sertai operasi SAR remaja jatuh Sungai Pahang
TEMERLOH: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, meninjau dan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohd Loqman Hamka, 20, yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pahang di Kampung Tebing Tinggi sejak seminggu lalu.
Turut mengiringi Sultan Abdullah di lokasi SAR ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah; dan Tengku Panglima Muda, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
Sultan Abdullah turut menyantuni ibu bapa mangsa, iaitu Hamka Abu Bakar, 62, dan Rohaya Ismail, 57, yang berada di lokasi kejadian sebelum mendengar taklimat operasi yang dipersembahkan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Sebaik sahaja selesai taklimat, Sultan Abdullah menyertai operasi SAR selama hampir sejam bermula 3.10 petang dengan menaiki bot bomba dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh hingga hampir dua kilometer ke hilir sungai.
Dalam kejadian 27 Nov lepas, Loqman dipercayai terjatuh ke dalam sungai itu selepas memaklumkan keluarga mahu memeriksa rawai ikan sekitar 9.30 pagi, sebelum kehilangannya disedari beberapa jam kemudian apabila rakannya menjumpai bot milik keluarga mangsa hanyut.
Hamka berkata Loqman boleh berenang dan biasa memeriksa rawai ikan selain anak bongsu daripada empat beradik itu banyak membantunya menjaga sangkar ikan patin yang diusahakan sejak 12 tahun lalu.
Dia juga amat terharu dengan keprihatinan Sultan Abdullah sehingga tidak putus-putus mengucapkan ucapan menjunjung kasih kepada Seri Paduka dan anakanda kerana sudi mencemar duli bertemu mereka sekeluarga.
“Sudah seminggu kami berada dalam keadaan susah hati kerana anak masih tidak ditemui… sedangkan sudah lebih 20 mayat orang lemas di Sungai Pahang saya angkat sepanjang saya berkhidmat sebagai anggota polis,” katanya.
Hamka berkata Sultan Abdullah turut menitipkan kata-kata semangat supaya mereka sekeluarga bersabar dan tabah menghadapi ujian Allah.
“Saya terharu ramai yang membantu. Pasukan keselamatan dan orang kampung sudah seminggu membantu kami di sini. Kawan-kawan saya juga bergilir menunggu di hilir sungai sebagai persediaan jika anak timbul dan dihanyutkan arus ke sana,” katanya.
You must be logged in to post a comment.