Kami pun berhak dapat jawatan TPM – Jeffrey Kitingan

KUALA LUMPUR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga berhak menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri yang kini menjadi tuntutan UMNO memandangkan gabungan politik itu adalag antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, beliau tidak menolak sekiranya ditawarkan jawatan itu atau kepada parti lain dalam gabungan itu tetapi beliau masih belum memutuskan parti mana yang sesuai memainkan peranan berkenaan.

“Memang kita (parti) pun berhak menerima jawatan timbalan perdana menteri. Saya merasakan tiada halangan jika jawatan ini diberikan kepada saya atau parti lain sekiranya ia mampu mengukuhkan lagi kekuatan dalam kerajaan selagi tidak menjejaskan kedudukan mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas tuntutan yang dibuat oleh UMNO terhadap jawatan nombor dua kerajaan itu yang dibangkitkan oleh kepemimpinan parti itu sebelum ini.

GRS merupakan gabungan parti politik di bawah Perikatan Nasional (PN) di Sabah yang menguasai 11 kerusi Parlimen manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula 18.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan isu jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk diisi pemimpin UMNO akan dibangkitkan semula sebaik sahaja Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Parlimen selesai.

Muslim berhak pilih produk, Lim Guan Eng macam kera kena belacan – Ka Siong (video)

Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta semua parti gabungan PN untuk tidak mendesak jawatan tersebut diberikan kepada UMNO tetapi Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan mempertahankan pemimpin partinya berhak mendapat jawatan berkenaan.

Malah beberapa penganalisis politik berpandangan bahawa PN perlu mempertimbangkan jawatan itu kepada UMNO bagi meredakan keadaan dan memperkukuhkan struktur kerajaan Persekutuan.

UMNO sebelum ini mempertahankan bahawa pemimpin partinya berhak mendapat jawatan berkenaan tetapi Muhyiddin dikatakan menolak untuk melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalannya kerana sedang dibicarakan mahkamah atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Mengulas lanjut, Jeffrey bagaimanapun berkata, tidak semudah itu untuk memberikan jawatan tersebut kepada partinya atau parti lain yang sehaluan kerana jika dibandingkan parti dengan UMNO, STAR mempunyai bilangan kerusi terlalu kecil.

“Saya pun hanya ada satu kerusi sahaja. Oleh yang demikian, tidaklah saya menuntut jawatan ini sebab matlamat saya adalah mahu menyumbang kepada rakyat dan negara dan bukannya mahu meminta-minta jawatan lebih tinggi,” katanya. -UTUSAN

Sultan ada tanggungjawab dan berhak tegur demi rakyat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker