LRT Pulau Pinang: “Dakwaan YB Bagan tidak benar sama sekali” – Tengku Zafrul

LRT Pulau Pinang: "Dakwaan YB Bagan tidak benar sama sekali" - Tengku Zafrul
Tengku Zafrulberkata, dakwaan Lim Guan Eng bahawa kerajaan Persekutuan tidak prihatin terhadap pembangunan negeri Pulau Pinang adalah tidak benar. – Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keputusan Kementerian Kewangan untuk tidak meneruskan pinjaman daripada Bank Pembangunan Asia (ADB) bagi membiayai projek transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang yang berjumlah AS$500 juta (RM2 bilion) adalah selaras dengan pandangan Bank Negara Malaysia berikutan pasaran kewangan negara yang mempunyai kecairan yang tinggi.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebaliknya, kerajaan boleh memperoleh dana dari pasaran tempatan.
Beliau menjelaskan, kadar pinjaman keseluruhan yang ditawarkan ADB adalah 40 peratus jauh lebih tinggi berbanding dengan kadar Sekuriti Kerajaan Malaysia.
“Sekuriti Kerajaan Malaysia menawarkan 2.72 peratus bagi 10 tahun berbanding ADB iaitu 3.81 peratus bagi tempoh yang sama,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa Kementerian Kewangan di Parlimen di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Zafrul berkata, keputusan Kementerian Kewangan untuk tidak meneruskan pinjaman dengan ADB adalah berkaitan dengan sumber pembiayaan bagi pelaksanaan projek pembangunan dan bukannya melibatkan cadangan pembatalan projek.
Katanya, semua projek pembangunan perlulah dikemukakan kepada Unit Perancangan Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri untuk dipertimbangkan di bawah Rolling Plan, Rancangan Malaysia.
“Namun demikian, kerajaan perlu meneliti semua projek yang perlu diberi keutamaan mengambil kira kedudukan fiskal kerajaan Persekutuan secara keseluruhan,” tambahnya.
Zafrul memberitahu, mesyuarat Kabinet pada 19 Julai 2019 juga bersetuju bahawa kerajaan negeri tidak boleh membuat pinjaman yang melibatkan jaminan kerajaan tanpa mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan terlebih dahulu bagi mengelakkan bebanan hutang ke atas kedudukan kewangan kerajaan.
Justeru, kata beliau, Kementerian Kewangan tidak menerima laporan due diligence tersebut daripada ADB dan isu jaminan pinjaman daripada ADB tidak berbangkit kerana perkara ini belum dibentangkan untuk kelulusan jemaah menteri.
“Oleh itu, dakwaan Yang Berhormat Bagan (Lim Guan Eng) bahawa kerajaan Persekutuan tidak prihatin terhadap pembangunan negeri Pulau Pinang adalah tidak benar sama-sekali,” tegasnya.

https://mykmu.net/2020/11/28/batal-jaminan-pinjaman-rm2-bilion-lrt-penang-pemimpin-dap-bengang-dengan-putrajaya/

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker