[VIDEO] “Saya Bangga Benarkan Gol Itu” – Pengadil Dalam Insiden ‘Hand of God’
RABU lepas, dunia meratapi pemergian legenda bola sepak dunia, Diego Maradona yang meninggal dunia akibat serangan jantung.
Kehebatan dan kelincahannya di atas padang sentiasa menjadi bualan namun satu perkara yang akan terus kekal dengan Maradona sampai bila-bila adalah gelaran ‘Hand of God’.
Gol kontroversi dalam Piala Dunia 1986 itu dan satu lagi gol dari Maradona berjaya menyingkirkan England di peringkat suku akhir dan akhirnya Argentina menjuarai kejohanan itu.
Pengadil perlawanan tersebut, Ali Bin Nasser dari Tunisia, sekarang berusia 76 tahun berkata, dia ‘berbangga dan berbesar hati’ membantu Maradona menjaringkan gol terhebat abad itu.
Bukan gol ‘Hand of God’, sebaliknya, jaringan hasil larian solo pemain itu dari tengah padang, menewaskan beberapa pemain England sebelum akhirnya mudah menumpaskan penjaga gol, Peter Shilton yang ketika itu berada di prestasi terbaik.
“Dia ambil bola dari kawasan tengah dan saya mengikuti rapat pergerakannya. Bila anda menjadi pengadil dan ada Maradona dalam perlawanan itu, anda tidak boleh lepaskan pandangan kepadanya.
“Mereka (pemain England) cuba menjatuhkannya berulang kali tapi keinginannya untuk menang perlawanan itu terus membawanya ke depan.
“Setiap kali diterjah, saya jerit “advantage” sehinggalah dia sampai ke dalam kotak penalti.
“Dari luar kotak penalti, saya terfikir bagaimana pemain berbadan kecil seperti dia menewaskan tiga pertahan, memecut hampir 50 meter. Saya fikir pertahanan akan cuba jatuhkan dia sekarang.
“Saya jangkakan itu berlaku dan saya bersedia untuk berikan penalti tapi saya terkejut, dia menggelecek dan melepasi pertahanan dan kemudian penjaga gol.
“Selepas itu, anda semua tahu, muncullah “goal of the century”,” katanya seperti dilaporkan BBC-Awani