Noor Hisham harap Parlimen luluskan belanjawan, ambil kira situasi Covid-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meletakkan harapan tinggi kepada ahli-ahli Parlimen supaya meluluskan Belanjawan 2021 esok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kelulusan belanjawan tahunan itu penting demi kebaikan negara dalam menangani penularan Covid-19.

“Harapan KKM adalah ahli-ahli Parlimen yang telah dipilih rakyat agar mengundi dengan baik dan penuh kebijaksanaan.

“Ia penting demi kebaikan sejagat, rakyat dan negara dalam keadaan negara mengalami pandemik Covid-19,” katanya menjawab soalan wakil media dalam sidang media hari ini.

Dalam perkembangan sama tambah Noor Hisham, kementeriannya yakin kesemua 222 ahli Parlimen memahami dengan situasi semasa pandemik yang dihadapi negara ketika ini.

“Kami juga yakin mereka fahami secara mendalam situasi semasa kewangan negara. Diharap semua ahli Parlimen yang dipilih rakyat mengambil kira kedua-dua perkara penting itu dan mengundi dengan penuh bijaksana di Dewan Rakyat esok,” tegas beliau. MG

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker