Hamid Bador kecewa, sedih pegawai tak serik lakukan jenayah
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengakui beliau sedih dan kecewa dengan sesetengah pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang masih tidak serik-serik terbabit dalam kegiatan jenayah.
Katanya, penahanan dua pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan empat anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, menunjukkan masih ada lagi salah laku serius dalam kalangan pegawai dan anggotanya.
Dua pegawai dan empat anggota terbabit ditahan untuk siasatan atas dakwaan terbabit dalam kejadian samun wang tunai RM1.6 juta semasa melakukan serbuan ke sebuah unit kediaman di Segambut Dalam, di sini, pada 12 November lalu.
Abdul Hamid berkata, insiden itu juga menunjukkan ada pegawai dan anggota PDRM tidak menjadikan kes penangkapan beberapa pegawai dan anggota pasukan ini sebelum ini sebagai pengajaran.
Sebelum ini, kes penahanan pegawai dan anggota polis yang menarik tumpuan ramai adalah pembabitan dengan sindiket Macau Scam dan judi atas talian.
“Saya amat sedih dengan kes ini, masih ada pegawai dan anggota yang tamak dan degil untuk mendapatkan habuan dan pendapatan lumayan dengan cara yang salah.
“Saya beri jaminan, mereka yang ditangkap ini pasti akan disiasat dengan seadil-adilnya dan sekiranya cukup bukti, mereka akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya kepada BH, malam tadi.
Beliau berkata, sekiranya benar bersalah, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang yang paling keras tanpa sebarang kompromi.
Terdahulu, Polis Kuala Lumpur mengesahkan penahanan dua pegawai dan empat anggota dari IPD Sentul, berhubung kehilangan wang RM1.6 juta dalam serbuan yang mereka lakukan.
Semua pegawai dan anggota polis berkenaan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun dalam bangunan dan Seksyen 384 kanun sama kerana melakukan pemerasan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin dilaporkan berkata, dua ASP dan empat anggota itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka direkodkan dan menunggu kertas pendakwaan disiapkan.
Polis juga mengambil keterangan daripada mangsa yang juga pengadu berhubung kehilangan wang tunai RM1.6 juta ketika serbuan dilakukan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian itu.
Dalam serbuan pada jam 6.30 petang itu, mangsa seorang lelaki warga China berusia 30 tahun ditahan bersama isterinya, juga warga China dan dua pembantu mereka.
Ketika serbuan dilakukan, suspek disyaki menemui dan merampas wang tunai RM1.6 juta, barangan kemas, jam tangan dan sarang burung, selain membawa empat tangkapan terbabit ke IPD Sentul.
Bagaimanapun, selepas siasatan selesai dijalankan dan ketika mangsa hendak dibebaskan pada jam 3 pagi, suspek dipercayai hanya menyerahkan barangan kemas dan sarang burung kepada mangsa, selain tidak diberikan borang senarai pemeriksaan barangan. BH
Anggota polis ditahan songlap RM1.6 juta