Polis tahan paderi Korea cabul lelaki OKU
BUTTERWORTH: Polis menahan seorang paderi warga Korea bagi membantu siasatan berhubung kejadian cabul membabitkan beberapa mangsa lelaki orang kurang upaya (OKU) di Pulau Pinang.
Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan berkata, lelaki berusia 54 tahun yang juga OKU itu ditahan di sebuah gereja di Pulau Pinang pada 8.30 malam semalam susulan laporan polis diterima daripada beberapa mangsa, termasuk dua di daerah Seberang Perai Utara.
“Di Pulau Pinang, polis terima beberapa laporan membabitkan semua mangsa lelaki yang merupakan OKU, antaranya bisu dan pekak berhubung kejadian cabul itu dan saya difahamkan terdapat (beberapa) laporan di negeri lain berhubung insiden sama.
“Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan kami turut merampas telefon bimbit daripada paderi yang juga OKU bisu serta pekak bagi membantu siasatan, saya minta orang ramai tidak buat sebarang spekulasi, biar kami jalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Katanya, lelaki yang bertugas sebagai paderi di sebuah gereja itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.