Barang Sampai Tak Sama Macam Order? Ikuti 8 Tips Membeli-Belah Secara Online

Terkini di My KMU !!!!---->

Sejak tercetusnya pandemik Covid-19, kita terhalang daripada keluar rumah dengan bebas seperti dulu. Jadi, untuk mendapatkan barang yang diperlukan, ramai yang memilih untuk membuat pembelian secara online.

Tapi pernah tak anda buat pesanan dalam talian dan kemudian mendapati bahawa produk yang dibeli tak seperti yang diharapkan? Ok, mari kita baca lapan tips tentang pembelian barang secara online untuk mengelakkan anda mengalami kekecewaan sebagai pembeli!

1. Baca semua spesifikasi

Penjual dalam talian selalunya memberi butiran terperinci tentang barangan yang mereka jual. Satu perkara penting yang anda perlu pastikan ialah saiz produk – Anda mesti tak mahu belikan anak anda set permainan dapur yang anda sangka bersaiz besar seperti dapur sebenar, tapi sebenarnya apa yang anda dapat ialah satu set mini yang kenit saja!

Mungkin ada dalam kalangan kita yang terbuai dengan harga rendah sesuatu barangan sehingga terlupa membaca maklumat yang diberikan oleh penjual, tau-tau saja dah klik ‘beli sekarang’.

Pastikan anda ambil masa untuk membaca setiap butiran maklumat yang diberikan tentang sesuatu produk supaya anda tahu dan sedar apa yang anda beli.

2. Cuba hubungi penjual

Kalau anda tak jumpa maklumat produk yang anda cari, cuba hubungi penjual yang berkenaan untuk bertanyakan butiran lanjut. Berhubung secara terus dengan penjual ialah satu cara yang baik untuk menguji sepantas mana penjual itu akan menjawab pertanyaan anda.

Dengan cara ini, anda boleh elakkan membeli barang daripada penjual yang lambat mengeposkan barang anda atau lebih teruk lagi, yang tidak akan bekerjasama dengan anda kalau anda perlu pulangkan barang yang dibeli atau dapatkan wang balik – ini membawa kita kepada poin yang seterusnya.

3. Cari penjual yang boleh dipercayai

Oleh sebab kita tak boleh nampak atau periksa barang yang dibeli, ada kemungkinan kita akan membeli barang yang salah atau yang tak berfungsi dengan betul.

Walaupun ini mungkin disebabkan oleh kesalahan yang tak disengajakan, ada juga penjual tak bertanggungjawab di luar sana yang cuba menipu pembeli dengan tidak menyerahkan barangan yang sepatutnya setelah bayaran dibuat.

Nasib baik juga, sesetengah platform dalam talian ada mengamalkan tempoh menunggu. Dalam tempoh ini, wang anda akan dipegang sehingga anda mengesahkan yang anda dah terima pesanan anda seperti yang dijangkakan. Selepas pengesahan diterima, barulah wang yang anda bayar akan dipindahkan kepada penjual.

Tapi bukan semua platform ada prosedur begini, jadi anda harus selidik tentang penjual dan produk sebelum melakukan pembelian. Lihat poin 4 di bawah untuk ketahui macam mana nak kenal pasti penjual yang menjual produk yang berkualiti dan boleh dipercayai!

4. Lihat rating dan ulasan

Membaca ulasan produk ialah satu cara yang sangat baik untuk melihat sama ada produk yang anda ingin beli akan memenuhi kehendak atau keperluan anda. Tinjau rating yang mereka dapat and baca ulasan supaya anda tak buang duit membeli barang yang salah atau rendah kualitinya.

Ulasan juga akan memberi maklum balas tentang penjual dan gambar-gambar produk, jadi anda patut kaji semua ini dalam usaha mengenal pasti penjual yang boleh dipercayai. Rating penjual selalunya boleh juga dilihat dalam halaman jualan mereka.

Selain itu, kita patut jauhi penjual atau produk yang tidak dikenali, sebab kita takkan tahu apa yang kita akan dapat (dan anda mesti tak nak jadi orang pertama untuk sedar yang anda dah beli barang dengan penjual yang tak boleh dipercayai!).

5. Selidik tentang polisi pemulangan

Kebanyakan platform dalam talian ada polisi pemulangan barang/pengembalian wang yang membolehkan anda memulangkan produk dan mendapat balik wang anda dengan mudah, asalkan memenuhi syarat tertentu. Jadi, pastikan anda baca semua terma dan syarat tentang pemulangan barang dan pengembalian wang!

Namun, proses pemulangan barang/pengembalian wang yang diamalkan oleh penjual online yang lain mungkin kurang jelas. Kalau anda tak pasti, hubungi penjual dan dapatkan penjelasan tentang polisi pemulangan barang/pengembalian wang mereka sebelum anda membuat pesanan. Kalau anda rasa anda tak boleh nak percaya dengan penjual tersebut, jangan teruskan pembelian dengan mereka!

6. Gunakan kod diskaun

Kod diskaun ialah satu cara yang bagus untuk menjimatkan wang. Kalau anda menggunakan platform dalam talian atau aplikasi membeli-belah, selalunya anda akan diberi kod diskaun sebagai ganjaran untuk pesanan yang telah dibuat, atau sebagai sebahagian daripada promosi jualan yang diadakan. Jangan lupa gunakan kod diskaun anda semasa nak checkout nanti!

7. Buat penyelidikan

Selain daripada membaca ulasan tentang penjual, buat perbandingan dengan penjual online yang lain untuk pastikan anda mendapat harga yang terbaik untuk barangan yang anda nak beli.

Buat penyelidikan sendiri tentang sesuatu produk dengan meninjau apa lagi yang diperkatakan tentang produk tersebut oleh penjual yang lain dan di laman web yang lain.

8. Jangan terlebih belanja

Membeli-belah secara online memang satu cara pembelian yang pantas berbanding membeli-belah secara fizikal. Oleh itu, anda mungkin terbawa-bawa memasukkan macam-macam barang ke dalam kart membeli-belah anda.

Tambahan pula, platform membeli-belah selalunya menawarkan pelbagai tawaran dan promosi yang menggoda anda untuk berbelanja lebih. Jadi, pastikan anda tetapkan had belanjawan untuk dipatuhi supaya anda tak berbelanja lebih daripada kemampuan. Baca panduan kami tentang perancangan dan belanjawan untuk fahami topik ini dengan lebih lanjut.

Kami tahu, membeli-belah secara online ni memang mudah dan cepat, malah anda boleh nikmati lebih penjimatan berbanding dengan membeli barangan di kedai biasa.

Tapi, oleh sebab prosesnya cepat dan harga pun rendah, ini boleh menyebabkan anda leka dan akibatnya wang anda mungkin tidak dibelanjakan dengan baik.

Jadi, pastikan anda ikut panduan yang kami kongsi supaya anda dapat berbelanja dengan bijak apabila membuat pembelian secara online!

Sumber: Multiply

Leave a Reply