Siapa dia Shahrir? Bertanding di Johor Bahru kalah, kata Shahidan
Pertikai kedudukan sebagai pengerusi PNBBC, Shahrir ‘lemah ilmu’, kata Shahidan
Shahidan Kassim menempelak pemimpin veteran Umno Shahrir Abd Samad kerana mempersoalkan kedudukannya sebagai pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC).
Shahidan berkata, adalah menghairankan apabila Shahrir mempertikaikan kedudukannya sebagai pengerusi PNBBC, namun tidak mempersoalkan kedudukan 20 pemimpin Umno yang menjawat tugas sebagai menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan PN.
“Jadi apa masalahnya? Dia sepatutnya berhati-hati sebelum bercakap. Bila dia bercakap, dia menunjukkan kelemahan ilmunya yang luar biasa. Dia bekas pengerusi BNBCC, bekas menteri, tetapi jahil ilmu.
“Kalau dia persoalkan saya, soal juga 20 orang menteri dan timbalan menteri Umno dalam PN, persoalkanlah. Saya bukannya ada gaji dalam PNBCC,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Shahrir mempersoalkan pelantikan Shahidan sebagai pengerusi PNBBC susulan beliau melabel mereka yang tidak menyokong Belanjawan 2021 sebagai “pengkhianat”.
Shahrir mempersoalkan kesesuaian Shahidan menjadi pengerusi PNBBC sedangkan beliau wakil Barisan Nasional (BN) yang pada dasarnya tidak menyertai gabungan PN pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Ketika ditanya, sama ada kedudukannya sebagai pengerusi PNBBC mendapat persetujuan BN dan Umno, Shahidan enggan mengulas, sebaliknya masih mengkritik rekod Shahrir.
“Bagi saya, orang yang persoalkan saya ini bukannya menteri atau timbalan menteri Umno, yang persoalkan adalah Shahrir. Siapa dia Shahrir? Bertanding di Johor Bahru juga kalah dan PKR menang,” katanya.
Shahidan merujuk kepada keputusan pilihan raya umum ke-14, apabila Shahrir gagal mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru yang sekian lama menjadi kubu kuatnya. FMT
You must be logged in to post a comment.