Vietnam satu-satunya ekonomi Asia Tenggara catat pertumbuhan

Vietnam muncul ekonomi tunggal Asia Tenggara yang menunjukkan kejayaan pertumbuhan di tengah-tengah pandemik COVID-19, mengekalkan pertumbuhan positif yang stabil ketika negara lain bergelut untuk pulih, lapor agensi berita Vietnam (VNA) memetik Nikkei Asia pada Khamis.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Vietnam berkembang 2.6 peratus mengikut tahun pada suku ketiga, menandakan pertumbuhan kali kedua berturut-turut.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mendapati KDNK negara itu tahun ini naik ke tangga keempat dalam kalangan negara ASEAN, selepas Singapura dan Malaysia, selain mengatasi Filipina.

Berbanding ekonomi ASEAN lain, Vietnam berjaya mengendalikan virus itu.



Peningkatan eksport membantu mendorong pertumbuhan, ketika syarikat-syarikat memindahkan pengeluaran dari China, kata akhbar itu.

Eksport Vietnam meningkat 9.9 peratus mengikut tahun pada Oktober kepada AS$26.7 bilion, dan Kementerian Perindustrian dan Perdagangan menjangkakan kenaikan antara tiga hingga empat peratus setahun.

Peningkatan itu mendorong permintaan perkapalan bertambah menyaksikan banyak kapal yang dalam perjalanan ke negara barat berlabuh di Vietnam.

Ia sekali gus membolehkan barangan Vietnam diserahkan terus kepada pembeli, mengurangkan kos pengangkutan perkapalan, memendekkan waktu transit dan lebih kompetitif.



Pencapaian Vietnam dalam memerangi COVID-19 telah membantu negara itu mengurangkan kesan pandemik terhadap ekonominya, sektor pembuatan pulih lebih cepat mengurangkan masalah kehilangan pekerjaan dan perbelanjaan pengguna yang menyumbang 70 peratus kepada KDNK kekal kukuh.

Jangkaan KDNK setahun IMF menunjukkan kenaikan 1.6 peratus di Vietnam, tetapi turun enam peratus di Singapura dan Malaysia dan susut 7.1 peratus di Thailand, kata laporan itu.

KDNK perkapita Vietnam sekitar AS$3,500 masih jauh berbanding AS$58,500 Singapura dan US$10,200 Malaysia.

Namun, pandemik telah merapatkan jurang itu mengikut turutan kedudukan ekonomi wilayah berkenaan.



Sungguhpun beberapa negara ASEAN menjangkakan pemulihan mendadak tahun depan, Vietnam kekal menjadi satu-satunya ekonomi yang menunjukkan pertumbuhan sebenar hingga separuh pertama 2021, bergantung kepada perkembangan wabak itu, katanya.
BERNAMA

32 hari berturut-turut Vietnam tiada kes COVID-19, apa langkah mereka?



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker