Ugut bunuh, rogol: Pemimpin Umany takut, buat laporan polis

PETALING JAYA: Dua pemimpin Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) hari ini membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh yang mereka terima sejak 3 hari lepas.

Ugutan itu bermula selepas Umany menaikkan hantaran di Facebook berkait Yang Di-Pertuan Agong. Mereka menarik balik hantaran itu dan membuat permohonan selepas itu.

Presiden Umany Robin Yap Wen Qing dan timbalan beliau Tan Li Yuan berkata, ugutan melalui panggilan telefon dan pesanan teks itu mula diterima pada Rabu.

“Sebahagian pesanan itu melibatkan ugutan membunuh kami dan keluarga. Mereka mengugut untuk membaling asid dan merogol anggota perempuan persatuan.

Presiden Umany akan disoal polis berhubung kenyataan kontroversi mengenai Agong di FB

“Kami bimbang kerana individu terbabit menyalahgunakan data peribadi untuk mengganggu kami,” kata Yap yang menambah bahawa ugutan tersebut menyebabkan minda mereka tertekan.

Beliau berkata, 9 anggota Umany, termasuk dirinya dan Tan, menerima ugutan tersebut.

“Seorang anggota kami telah membuat laporan polis berhubung perkara ini di kampung beliau. Hari ini kami berdua melakukannya di sini,” kata Yap.

Peguam pelajar terbabit, Kuhan Manokaran berharap, polis akan menyiasat ugutan tersebut dengan serius.

“Pihak polis kelihatan bersungguh-sungguh ketika menyiasat kenyataan Umany di Facebook sebelum ini. Saya berharap mereka juga akan meneliti ugutan bunuh ini dengan serius,” katanya.

Polis menyiasat beberapa orang pemimpin Umnay berhubung kenyataan mereka di media sosial itu bertajuk “Yang Di-Pertuan Agong should not intervene in national affairs” kerana menghasut dan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Yan dan Tan dipanggil bagi membantu siasatan lanjut polis awal minggu ini.

Kumpulan undang-undang dan hak asasi manusia mempertahankan Umany dan pemimpinnya dengan berkata, tindakan polis tidak adil.

Turut hadir bersama-sama kumpulan pelajar itu di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya ialah bekas presiden Umany Wong Yan Ke, yang sebelum ini didakwa mengingkari arahan polis supaya menghentikan penyiaran rakaman serbuan polis di rumah Yap di Facebook

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker