Macam mana Shahidan boleh jadi Pengerusi PNBBC
Seorang pemimpin veteran Umno mempersoal pelantikan Shahidan Kassim sebagai pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) di sebalik kritikan ahli Parlimen Arau itu yang melabel mereka yang tidak menyokong Belanjawan 2021 sebagai “pengkhianat”.
Shahrir Abd Samad membangkitkan perkara itu sedangkan Shahidan merupakan wakil Barisan Nasional (BN) yang pada dasarnya tidak menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) diketuai Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
“Betul-betul terdesak sangat Shahidan sehingga tak sokong Belanjawan 2021 dah boleh jadi pengkhianat.
“Dia pula ahli Parlimen BN. BN bukan dalam PN pun, jadi macam mana dia boleh jadi pengerusi ‘backbenchers’ Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan.
Shahrir menyifatkan tindakan Shahidan itu sebagai agresif dalam mempertahankan Belanjawan 2021 dengan berkata, perkara sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini apabila pihak yang menentang tindakan kerajaan dikecam.
Beliau berkata, pengkhianat sebenar adalah ahli Parlimen yang mewakili PPBM.
“Muhyiddin mengkhianati Dr Mahathir Mohamed; Mohamed Azmin Ali, khianati PKR, Anwar Ibrahim dan Mahathir. Hamzah Zainudin, Abdul Latiff Ahmad, Mustapha Mohamed dan lain-lain khianati Umno dan Mahathir.
“Jadi PPBM sebagai pendokong utama PN penuh dengan ‘pengkhianat’. Sekarang Shahidan pula guna istilah ‘pengkhianat’ terhadap mereka yang tidak sokong Belanjawan 2021,” katanya.
Ketika berucap di Dewan Rakyat semalam, Shahidan berkata, pihak yang menolak Belanjawan 2021 adalah pengkhianat kerana rakyat, terutama yang kehilangan pekerjaan, menunggu bantuan kerajaan.
“Sesiapa sahaja yang menolak belanjawan ini, termasuk kawan saya, bekas menteri kesihatan, (kalau) tolak bajet, (maka) khianat rakyat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2021. FMT
Pengkhianat kalau tolak Belanjawan 2021, Shahidan beritahu Najib
You must be logged in to post a comment.