Lanjutkan moratorium, keadaan rakyat perlu ‘dirawat’ segera

REALITI kehidupan manusia sentiasa memerlukan wang untuk mendapatkan sesuatu dengan cara membelinya.

Sebagaimana kata orang, “no money, no talk” amat sesuai dikaitkan dengan situasi yang terpaksa didepani majoriti rakyat Malaysia kini, apalagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan kerajaan sekarang ini.

Pandemik COVID-19 yang melanda tentunya tiada siapa yang meminta dan menginginkannya. Sebagai seorang Islam, kita perlu percaya bahawa itu adalah ketentuan Allah seperti yang termaktub dalam Rukun Iman yang keenam iaitu percaya kepada qadak dan qadar.

Setiap musibah yang menimpa itu adalah ujian untuk hamba-Nya agar tetap meyakini bahawa segala yang terjadi adalah atas kehendak-Nya. Siapa pun kita, tidak dapat menafikannya.

Melihat situasi semasa masyarakat yang seakan tersepit dan terhimpit dengan keadaan yang melanda, sewajarnya pihak kerajaan dan institusi yang sepatutnya berusaha mencari solusi serta berusaha menangani isu yang terjadi.

Antara yang amat ketara kini ialah kekurangan kewangan atau dengan kata lain, kewangan yang sangat terhad dalam sesebuah keluarga.

Banyak perkara menyebabkan situasi itu berlaku dalam keadaan tempoh PKPB ini, antaranya sumber pendapatan yang telah dipotong majikan, kehilangan pekerjaan, kehilangan sumber pendapatan serta beberapa sebab lainnya.

Tentunya disebabkan keadaan itu, akan timbulnya permasalahan lain. Sebelum ia berlarutan dengan lebih drastik, sewajarnya ia ditangani segera. Kesan yang tidak sihat (negatif) kepada keluarga, masyarakat dan persekitaran, tentunya tiada siapa duga atau sangka, kerana itu juga banyak terjadi kini.

Solusi yang terbaik boleh dilaksanakan kerajaan dan pihak yang sepatutnya ialah melaksanakan kembali moratorium agar sedikit sebanyak meringankan bebanan yang ditanggung rakyat.

Pada 29 Julai 2020 lalu, dalam Perutusan Khas yang disampaikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata: “Anda akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh tiga bulan. Selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.”

Sekalung perhargaan, kita sebagai rakyat Malaysia untuk kerajaan kerana meneruskan moratorium selama enam bulan yang berakhir pada September lalu, ia sedikit sebanyak membantu mereka yang sangat memerlukan.

Berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak Oktober, ia memaksa kerajaan melaksanakan PKPB semula di seluruh negeri di Semenanjung (kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis) selama empat minggu bermula 9 November hingga 6 Disember 2020.

Perkara yang tidak disangka berulang lagi, PKPB. Situasi masyarakat yang seakan ‘telah memulakan kehidupan baru’ sebelum ini, terpaksa mendepani semula keadaan sebagaimana sebelum ini.

Sebagaimana kata YB Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) pada 27 Julai lalu, langkah untuk tidak meneruskan moratorium secara automatik selama enam bulan lagi dilihat sebagai usaha untuk melindungi bank, bukannya menyelamatkan rakyat.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bekata, institusi perbankan berkemungkinan besar mengalami kerugian bernilai RM79 bilion dari segi kapasiti untuk memberi pinjaman atau dikenali ‘kerugian pengubahsuaian’ sepanjang tempoh pelaksanaan moratorium enam bulan pada April sehingga September.

“Ini adalah jumlah yang boleh dipinjamkan bank-bank terbabit kepada individu dan peniaga dalam keadaan perniagaan biasa bagi tempoh April hingga September itu.”

Menurutnya, bagi tempoh enam bulan moratorium yang diberikan secara keseluruhan, jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM6.4 bilion yang bersamaan dengan pengurangan kapasiti bank itu sendiri untuk memberi pinjaman baharu sebanyak RM79 billion sama ada kepada rakyat atau peminjam.

Tentunya ia sesuatu yang mencabar untuk direalisasikan jika dipandang pada aspek perbankan walau hakikatnya kerajaan perlu berusaha untuk mengembalikan kehidupan rakyat agar lebih sejahtera.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, moratorium masih menjadi kaedah terbaik untuk memberi keselesaan kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik tersebut.

“Lanjutan moratorium sememangnya perlu dilakukan untuk tempoh enam bulan akan datang iaitu sehingga suku pertama 2021, namun secara bersasar kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).”

Penghujung Mac lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelaksanaan moratorium bagi semua pembayaran semula pinjaman oleh individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tempoh enam bulan bermula 1 April 2020 di bawah Pakej Rangsangan Eko­nomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

Penganalisis Ekonomi DM-Analytic Sdn Bhd, Zouhair Rosli berkata, segala bentuk bantuan perlu diteruskan sehingga Disember ini seperti diamalkan di beberapa negara lain kerana segala pemulihan hanya dapat dilihat pada tahun hadapan dengan kebanyakan analisis ekonomi membayangkan tahun ini bakal menjadi ‘detik hitam’ kepada kedudukan ekonomi.

Pada 6 November 2020 ketika sesi pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan lanjutan moratorium bersasar yang dibuat sejak Oktober lalu.

Pengumuman itu hanya mengambil kira kesusahan golongan bawahan dan sebahagian kumpulan berpendapatan sederhana. Realitinya, masalah ketidakmampuan membayar semula ansuran pinjaman bukan terhad kepada rakyat berpendapatan rendah tetapi juga rakyat berpendapatan sederhana dan tinggi.

Berbanding dengan beberapa kaedah lain, sebenarnya lanjutan moratorium bukan sahaja memberi situasi menang-menang kepada institusi kewangan dan rakyat, tetapi juga akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi pada masa akan datang.

Namun, pelaksanaan moratorium memerlukan penilaian semula dari aspek kaedah pelaksanaan bagi memastikan semua rakyat yang terjejas berhak mendapat bantuan atau penangguhan pembayaran pinjaman dan tidak terkecuali, rakyat Malaysia juga perlu mengurus kewangan yang ada dengan sebaiknya.

Selain itu perlu dikaji semula, adakah dengan pelaksanaan moratorium bersasar dapat membantu rakyat? Ini kerana, masih ramai lagi yang tidak tahu dan tidak mendapat manfaat itu, tidak sebagaimana sebelumnya yang dilaksanakan secara outomatik, semua menikmatinya.

Bukanlah ini hanya satu-satunya sebagai solusi merawat situasi yang dihadapi rakyat, tetapi secara mudahnya dengan melanjutkan moratorium ini, mereka sedikit sebanyak akan dapat manfaatnya di samping dapat menangani masalah yang terjadi.

Moga luahan-luahan daripada peringkat bawahan iaitu rakyat terus didengari dan diambil peduli oleh pemimpin negara bagi menangani pelbagai permasalahan yang dihadapi mereka kini.

Setiap permasalahan tentu ada jalan keluarnya sebagaimana lirik lagu Maher Zain, “Insya-Allah… Insya-Allah… Insya-Allah… Ada jalannya.”

Atriza Umar
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Ahli Parlimen setuju moratorium dilanjut sehingga Jun 2021

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker