Ahli Parlimen setuju moratorium dilanjut sehingga Jun 2021

KUALA LUMPUR – Beberapa ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang hari ini senada bersetuju mengenai cadangan pelanjutan moratorium sehingga Jun 2021 dimasukkan dalam Belanjawan 2021 dalam usaha membantu rakyat mendepani kesan pandemik koronavirus (Covid-19).

Dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021, Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mencadangkan supaya selepas moratorium dalam tempoh enam bulan, mereka yang mempunyai pinjaman RM500,000 dan ke bawah diberi penangguhan automatik untuk tiga hingga enam bulan lagi jika Covid-19 belum pulih.

“Dengan itu, pinjaman berjumlah besar dan banyak oleh T20 dan syarikat besar dengan tersendiri terkecuali kerana keupayaan mereka dan pada masa sama kita boleh terus membantu rakyat yang memerlukan. Angka RM500,000 itu boleh diubah mengikut yang lebih sesuai berdasarkan jumlah paling ramai rakyat yang boleh dibantu,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan inisiatif pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada akaun satu secara bersasar supaya dipendekkan tempohnya daripada 12 bulan iaitu RM500 sebulan kepada RM1,500 sebulan selama empat bulan menjadikan jumlahnya tetap RM6,000.

Turut senada perihal pelanjutan moratorium ialah Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang mencadangkan kerajaan perlu membantu kelompok peniaga sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat wabak itu.

“Moratorium kita setuju supaya dilanjutkan pada bulan Jun akan datang kerana mereka menghadapi masalah yang begitu besar. Begitu juga syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana, mereka tak mampu bayar gaji pekerja. (Jadi) Kerajaan harus memberi bantuan kepada pekerja itu sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan untuk terus hidup sehingga selesai masalah pandemik (Covid-19),” katanya ketika berbahas.

Mohamad yang turut menyentuh mengenai peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) berkata, peruntukan itu sepatutnya disalur untuk membela nasib rakyat.

Beliau dan Lim Guan Eng (PH-Bagan) menegaskan peruntukan yang diterima Jasa menerusi Belanjawan 2021 harus ditolak.

Guan Eng ketika membahaskan Belanjawan 2021 pula berkata, beliau dan ahli Parlimen lain bersedia untuk menolak Jasa agar ia tidak diluluskan.

Seramai tujuh ahli Parlimen mengambil bahagian pada hari kedua perbahasan Belanjawan 2021. Sesi perbahasan hari ini dimulakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) yang diberi masa 90 minit sebagai wakil blok kerajaan, diikuti Lim Guan Eng (PH-Bagan); Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort); Mohamad Sabu (PH-Kota Raja); Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian); M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat); dan Datuk Wilson Ugak Kumbong (GPS-Hulu Rajang).

Persidangan dewan bersambung esok. – BERNAMA

Manfaatkan wang moratorium

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker