2 anggota polis mengaku tidak bersalah seludup migran · MYKMU.NET

2 anggota polis mengaku tidak bersalah seludup migran

Share

SUNGAI PETANI: Seorang konstabel dan sarjan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menyeludup migran warga India di Baling, pada Mei tahun lepas.

Tertuduh, konstabel Mohammad Faiz Idris, 23, dan sarjan Mohd Fazlan Abdullah, 58, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Azman Abu Hassan, setelah pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama menjalankan penyeludupan migran seramai 27 warganegara India, di Lot 1004, Kampung Haji Abas di Baling pada 12.15 pagi, 23 Mei 2019.

Sehubungan itu, mereka dituduh mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda atau keduanya sekali.

Mahkamah tidak membenarkan 2 anggota polis itu diikat jamin memandangkan kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, maka kebenaran jaminan hanya dapat diputuskan oleh mahkamah tersebut.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Jabatan Imigresen Fazril Sani Mohamad Fadzil dan Siti Ruvinna Mohd Rawi.

Konstabel yang bertugas di Kem Komandan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu diwakili peguam Mohd Hafiz Jalaluddin dan Muhd Alif Affandi Zulkefli, manakala sarjan dari Balai Polis Pengkalan Hulu, Perak diwakili peguam Jesvinderjit Singh.

Leave a Reply