Cetak wang, pemimpin PN sedang terkial-kial cara nak urus ekonomi, kata Shahrir
Seorang pemimpin Umno malam tadi sekali lagi ‘menyerang’ Bersatu melalui media sosial. Kali ini berhubung langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguruskan ekonomi bagi mengimbangi kesan wabak Covid-19.
Menurut Shahrir Samad, pada pandangannya kerajaan PN kini “terkial-kial” untuk menghadapi keadaan semasa.
Tidak sekadar itu, bekas ahli parlimen Johor Bahru berkenaan turut melanjutkan kritikannya kepada Pemuda Bersatu (Armada).
“Saya ingat nak post komen saya tentang kegeligaan pemimpin muda PPBM (Bersatu),” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Mengiringi kenyataan tersebut ialah tangkap layar laporan mengenai idea Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, untuk meringankan kesusahan rakyat.
Ditemu bual stesen radio BFM, senator itu mencadangkan agar Bank Negara mencetak lebih banyak wang untuk diagih-agihkan kepada orang ramai.
Idea itu bagaimanapun menjadikan timbalan menteri belia dan sukan terbabit menjadi sasaran persendaan serta kecaman.
Kata Shahrir untuk menjelaskan pandangan terhadap idea Wan Ahmad Fayhsal memadai untuknya mengongsikan pandangan seorang anak muda Johor Bahru.
“Macam mana kerajaan PN berteras PPBM (Bersatu) terkial-kial dengan kewangan dan ekonomi negara, macam itu jugalah pemimpin pelapisnya.
“Timbalan menteri tu!” katanya.
Bercakap di radio BFM pada Isnin lalu, timbalan menteri itu berkata, ini boleh dilakukan dengan melupuskan hutang untuk membantu rakyat.
Katanya, ini boleh dilaksanakan menerusi dasar kewangan “wang helikopter” dengan bank pusat secara langsung mencetak wang dan memberikannya kepada rakyat supaya mereka dapat membelanjakannya.
Malah katanya, ini adalah beberapa langkah yang boleh dilaksanakan, dan negara memerlukan dasar inovatif dari bank pusat.
You must be logged in to post a comment.