30% pengusaha bas sekolah bakal ‘tutup kedai’, rayu bantuan kerajaan

Share

Bermula awal tahun depan lebih ramai pengusaha bas sekolah dijangka terpaksa “tutup kedai” kerana tidak mampu menanggung kos kerana tidak dapat beroperasi sepanjang penutupan sekolah dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di beberapa negeri.

Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, pengusaha terpaksa menanggung kos operasi lebih RM7,000 setiap bulan untuk sebuah bas walaupun ketika cuti persekolahan.

“Walaupun sekolah cuti, bermula PKPB ini, ibu bapa enggan membayar penuh tambang bulanan perkhidmatan.

“Jika dikira secara keseluruhan daripada awal tahun, kita hanya dapat bayaran penuh maksimum 6 bulan. Enam bulan lagi tahun ini kita tak dapat apa-apa bayaran.

“Bas sekolah ada kos operasi tetap setiap bulan yang perlu ditanggung walaupun ketika cuti sekolah dan jika kos operasi ini tidak dapat ditanggung, kemungkinan pengusaha berkenaan terpaksa menghentikan operasi,” katanya ketika ditemui FMT baru-baru ini.

PKPB mula dikuat kuasa pada 4 Mei menggantikan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac. Selepas itu, perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga 31 Dis.

Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat.
Bagaimanapun, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPB di Semenanjung kecuali Perlis, Pahang, dan Kelantan bermula 9 Nov sehingga 6 Dis.

Sebelum itu, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur dikenakan PKPB bermula 14 Okt hingga 27 Okt kerana peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19.

Amali berkata bermula Julai, selepas sekolah dibuka semula, pelajar yang menaiki perkhidmatan bas sekolah berkurang sebanyak 30%.

Katanya, ada ibu bapa yang mengambil pendekatan menghantar sendiri anak mereka ke sekolah kerana risau dengan penularan Covid-19.

“Kesan penutupan sekolah juga, kita mendapat keluhan pengusaha bas hampir seluruh negara, hampir 30% ambil keputusan hentikan terus perkhidmatan mereka.

“Ada yang sudah jual bas mereka. Kalau sekolah tidak dibuka pada 20 Jan tahun depan, kita jangka ramai lagi pengusaha bas terpaksa tutup kedai,” katanya.

Amali berkata, kebanyakan pengusaha bas beralih membuat pekerjaan lain. Beliau berharap kerajaan dapat memberi bantuan kepada pengusaha dan pemandu bas sekolah yang terkesan.

“Antara cadangan kepada kerajaan adalah memberi bantuan ‘one off’ RM600 kepada pemandu bas sekolah yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi meringankan beban mereka susulan kehilangan pendapatan sepanjang penutupan sekolah.

“Kita juga minta moratorium diberikan kepada pemandu bas yang mempunyai hutang pinjaman pembelian bas sekolah dengan kad kredit.

Ini kerana pinjaman untuk bas sekolah dibuat dengan kad kredit yang perlu dibayar setiap bulan,” katanya.

Untuk kelangsungan perkhidmatan bas sekolah, beliau meminta bantuan Geran Khas Prihatin 2.0 bagi pengusaha bas yang berdaftar dengan SSM.

Beliau kesal bantuan kepada pengusaha bas sekolah diberikan paling akhir selepas ia diberikan kepada pemandu pemandu e-panggilan, teksi, dan pemandu pelancong.

“Pada pendapat kita, kerajaan tidak lihat bas sekolah ini sebagai entiti penting dan kita rasa terkilan kerajaan menafikan peranan kita,” katanya.

Amali berkata, bas sekolah mengangkut lebih kurang 1.5 juta pelajar setiap hari, membabitkan 700,000 keluarga.

“Jika bas sekolah tidak boleh meneruskan perkhidmatan, bayangkan 700,000 keluarga ini hantar sendiri anak-anak ke sekolah. Jadi akan bertambah 700,000 kenderaan di jalan raya,” katanya.

Sementara itu, pengusaha bas sekolah, Mohd Ridzuan Hadis, 50, memilih untuk membawa lori ikan sepanjang penutupan sekolah bagi menampung kehidupan.

Katanya, walaupun bas sekolah tidak operasi, gaji dan potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pemandu perlu dicarum setiap bulan.

“Tiga bulan pertama sejak Mac lalu boleh lagi tanggung. Bila PKPB Oktober lalu terus kita ‘down’. Tak boleh nak jimat. Nak cari duit mana pun tak ada. Duit yang ada pun sudah habis.

“Itu saya bawa lori ikan. Ini gaji pun rendah. Tetapi sebab tak ada kerja terpaksa kerja juga,” katanya yang menjadi pengusaha bas sekolah sejak 1999.

Ridzuan berharap kerajaan meminta syarikat kad kredit memberi moratorium kepada pengusaha bas sekolah yang membuat pinjaman membeli bas sekolah sehingga mereka boleh operasi semula.

“Bila bas sekolah lama tak bergerak, banyak barang yang perlu diselenggara.”

Beliau juga berharap Program Subsidi Upah yang diberikan Perkeso boleh dipanjangkan kepada pemandu bas.

“Dapat bantu bayar upah gaji pun cukup untuk pemandu bas sekolah sehingga sekolah beroperasi,” katanya FMT

Bas kami nak kena tarik dah…

Leave a Reply