Bas kami nak kena tarik dah... · MYKMU.NET

Bas kami nak kena tarik dah…

Share

Kira-kira 6,000 pengusaha bas persiaran dan bas sekolah di seluruh negara berhadapan tekanan berikutan bas mereka berkemungkinan ditarik syarikat kredit kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan ditetapkan.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Catar Malaysia, Mohd Rofik Mohd Yusoff berkata, terdapat 6,800 pengusaha bas persiaran dan sekitar 20,000 pengusaha bas sekolah di seluruh negara ketika ini.

Beliau berkata, sebahagian daripada pengusaha bas terbabit sudah menerima pelbagai notis sejak beberapa bulan lalu daripada syarikat kredit yang memberikan pinjaman kepada mereka.

“Sebahagian besar daripada pengusaha bas membuat pinjaman daripada syarikat kredit dan tertekan untuk membuat pembayaran semula selepas sumber pendapatan terjejas susulan wabak pandemik Covid-19.

“Kebanyakan mereka kehilangan sumber pendapatan tetap apabila aktiviti sektor pengangkutan dan pelancongan menerima kesan teruk akibat wabak itu yang dilihat tidak akan pulih dalam masa terdekat ini.

“Walaupun terdapat segelintir syarikat kredit menawarkan penjadualan semula pinjaman, ia tidak membantu keseluruhan pengusaha, sekali gus membuatkan ramai bukan sahaja berhadapan gulung tikar, malah kenderaan itu kemungkinan akan ditarik,” katanya, hari ini.

Mohd Rofik yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan (PPBSNS) berkata, pihaknya menggesa kerajaan campur tangan bagi memastikan syarikat kredit lebih bersikap bertolak ansur dengan melanjutkan moratorium.

Beliau berkata, pengusaha tidak akan lari daripada tanggungjawab membayar hutang, namun memohon diberikan masa sehingga keadaan ekonomi kembali pulih.

“Keadaan ini berbeza dengan syarikat perbankan di bawah Bank Negara yang memberikan moratorium pinjaman tertentu sehingga Mac tahun depan atau ke suatu tempoh munasabah.

“Kami berharap kerajaan dapat campur tangan untuk membolehkan syarikat kredit dapat memberi kelonggaran melanjutkan moratorium, sekali gus membantu meringankan beban pengusaha bas,” katanya.

Mengenai langkah kerajaan mengecualikan bayaran cukai jualan bagi pembelian bas siap dalam negara berkuat kuasa 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022, beliau berkata, langkah itu memang melegakan pengusaha bas.

“Bagaimanapun, ketika zaman sukar ini, tiada pengusaha bas berhajat atau berkemampuan untuk membeli bas baharu.

“Pengecualian cukai itu baik, tetapi fokus pengusaha bas ketika ini adalah menyelesaikan masalah hutang yang mereka tanggung,” katanya. HM

Wee janji pakej bantuan bagi pemandu bas sekolah

Leave a Reply