‘Saya sudah lali, tak mahu anak pula diejek’

Kuala Lumpur: “Muka itu kena sumpah ke?” antara komen yang dilontarkan seorang pelayar di aplikasi TikTok kepada Shaharizah Sahari yang memiliki tanda lahir di pipi kanannya.

Shaharizah, 35, kemudiannya memuat naik hantaran balas video dengan menyatakan tanda lahir yang dimilikinya itu tidak seharusnya dianggap sebagai ‘sumpahan’ tetapi kurniaan Tuhan kepadanya sejak lahir lagi.

Perkongsiannya itu mendapat perhatian warganet sehingga meraih jutaan tontonan di akaun TikTok miliknya.

Menurutnya, ia bukanlah kali pertama menerima ejekan kerana mempunyai kelainan pada rupa parasnya.

“Saya sebenarnya tidak termakan dengan komen sebegitu kerana sudah lali.

“Sejak kecil lagi saya terima banyak ejekan daripada rakan-rakan sekolah.



“Sampai ada satu hari, saya pernah berniat mahu membunuh diri dengan pisau ketika berusia 12 tahun, namun apabila meningkat dewasa saya menerimanya (tanda lahir) dengan reda,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia juga tidak menyangka hantarannya di TikTok memperoleh jutaan tontonan dan berharap ia menjadi pengajaran kepada warganet supaya berhati-hati dalam memuat naik sebarang komen di media sosial.

“Pada awalnya terasa juga, apabila baca komen warganet lain terus gembira dan seronok.

“Walaupun terima satu komen negatif tetapi ratusan yang membalasnya dan mendoakan kesihatan serta kesejahteraan saya sekeluarga.



“Sekarang hanya fikirkan perasaan anak, saya tidak mahu dia menerima ejekan kerana wajah ibunya sebegini,” katanya.

Shaharizah berkata, pelbagai alternatif rawatan dibuat bagi memudarkan tanda lahir pada wajahnya termasuklah rawatan moden dan tradisional.

Menurutnya, dia pernah cuba buat melakukan rawatan memudarkan dan menghilangkan ketulan tanda lahir itu supaya kelihatan lebih cantik sebelum berkahwin dengan suaminya, Zaidi Daing Pasolong, 38, pada Jun 2018 tetapi ia kurang berkesan.

“Saya masih lagi berharap permohonan untuk melakukan rawatan laser di hospital kerajaan diterima kerana rawatan di klinik atau hospital swasta agak mahal.



“Ketumbuhan biji-biji pada wajah ini juga buat saya tidak selesa dan sering sakit kepala,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menganggap rupa parasnya sebagai kelemahan diri kerana tanda lahir itu bukanlah suatu kecacatan.

“Saya bersyukur dikurniakan tubuh badan yang sihat, boleh bekerja dan mampu menyara keluarga,” katanya yang bekerja di sebuah kilang di Johor Bahru, Johor.

Dia juga bersyukur apabila Allah kurniakannya penghibur hati, Muhammad Aisy Ziqri Zaidi, anak lelaki yang baik dan sempurna berusia 18 bulan.



Terdahulu, perkongsian Shaharizah yang dimuat naik pada Oktober lalu tular di aplikasi TikTok sehingga meraih lebih 1.3 juta tontonan, 64,000 tanda suka dan 2,000 komen setakat ini-HM

“Perut Cover Sikit..” Penampilan Reen Rahim Tarik Perhatian Netizen..



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker