Kerajaan perlu pantas bertindak, guna aplikasi kesan kontak rapat Google-Apple – Najib Razak

 

PETALING JAYA: Sistem notifikasi Covid-19 untuk mengesan kontak rapat yang dilancarkan Google dan Apple dapat membantu kerajaan mengawasi kes aktif, kata bekas perdana menteri, Najib Razak.

Beliau berkata, jumlah kontak rapat pesakit Covid-19 ketika ini terlalu ramai untuk ditangani Kementerian Kesihatan dan langkah baru diperlukan untuk menangani kes aktif yang hampir mencecah 50,000 orang.

Beliau mencadangkan penggunaan “Google-Apple Exposure Notification System” yang tersedia di telefon pintar, menggunakan Bluetooth untuk mengenal pasti kontak rapat di antara pengguna.

Najib berkata, sistem itu akan memaklumkan kontak rapat pesakit tanpa mendedahkan siapa yang dijangkiti Covid-19, sambil menjaga privasi pengguna.

Jelasnya, memandangkan kebanyakan pengguna telefon pintar sudah menggunakan aplikasi MySejahtera yang disarankan KKM, apa yang perlu dilakukan kerajaan adalah menambah baik aplikasi itu dengan menambah ciri “exposure notification”.

“Jadi, kerajaan tak perlulah bina app sendiri yang baru seperti MyTrace. Gunakan sahaja ciri sedia ada dan masukkan dalam MySejahtera. Laju, murah dan telah terbukti,” kata Najib yang menggesa kerajaan mengusahakan agar sistem itu diaktifkan untuk penggunaan di Malaysia.

Katanya, ciri pengesanan kontak rapat itu ditawarkan secara percuma di seluruh dunia dan sudah digunakan kira-kira 20 negara.

“Sesiapa yang disahkan positif Covid, perlu memaklumkannya kepada sistem tersebut secara bensendirian.

“Lalu, kontak-kontak rapat pesakit akan dihantar notifikasi mereka merupakan kontak rapat kes Covid (tanpa dimakluman siapa yang disahkan positif Covid)

“Rekodnya disimpan tanpa lokasi dan tanpa menamakan pemilik telefon bimbit atau nombor telefon. Dalam erti kata lain, sistem ini tidak mengganggu privasi pengguna.”

Katanya, bagi mengurangkan kebimbangan berkaitan pelanggaran privasi atau penyalahgunaan maklumat orang ramai, pihak ketiga boleh dilantik memantau program tersebut bagi memastikan privasi pengguna sentiasa dilindungi.

“Lagi ramai dan lagi laju mereka merupakan kontak rapat kes Covid, lagi rendah peluang kontak rapat untuk menjangkiti orang lain, sekiranya mereka didapati positif. Lagi laju Covid dapat dibendung.”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker