Suami isteri terlantar di ICU, bayi pula masuk wad · MYKMU.NET

Suami isteri terlantar di ICU, bayi pula masuk wad

Share

Berat ujian ditanggung pasangan suami isteri apabila terpisah dengan satu sama lain selepas mereka dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka.

Aizameen Haqim Abd Razak, 27, dimasukkan ke ICU lebih awal pada 30 Oktober lalu selepas mengalami semput kronik dan kini dilaporkan masih koma, manakala isterinya, Fatin Atikah Munzahit, 26, dimasukkan ke ICU Isnin lalu akibat jangkitan kuman dalam darah.

Lebih menyedihkan apabila anak bongsu mereka, Fitiya Ariana yang berusia dua bulan turut dimasukkan ke dalam wad akibat cirit birit dan najis berdarah sementara abangnya Firash Aedrian, 2, mengalami ekzema kini dijaga oleh ibu saudara kanak-kanak itu, Nur Shuhaila Mazlan,28.

Kisah empat beranak itu dikongsikan sepupu kepada Fatin ,Emmy Farhany Ahmad,41 menerusi Facebook (Fb) miliknya, kelmarin.

Bercerita lanjut, Emmy yang menetap di Cyberjaya berkata, kali terakhir dia bertemu dengan Fatin adalah pada Khamis lalu ketika pulang ke kampung untuk menjenguk keadaan ibunya yang tidak sihat.

“Saya sempat singgah ke rumah keluarga Fatin di Kampung Surau Batu, Paya Dalam, Melaka dan nampak keadaannya (Fatin) tidak bermaya.

“Dia (Fatin) ada beritahu saya jiwanya kosong tetapi kami tidak bersembang lama dan Isnin lalu, saya dimaklumkan abang Fatin yang adiknya itu dimasukkan ke ICU.

“Masalah kesihatan dihadapi Fatin ada kaitan dengan tekanan emosi dihadapi selepas suaminya koma. Apa yang saya tahu, suami Fatin pula mengalami masalah semput kronik dan paru-paru sebelum mereka berumah tangga lagi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Emmy berkata, buat masa ini, keadaan Fatin dilaporkan stabil tetapi hanya dua ahli keluarga dibenarkan melawat pada satu-satu masa.

“Manakala, suami dan anak bongsunya tidak boleh menerima kunjungan pelawat termasuk ahli keluarga ketika ini kerana masih dalam pemantauan doktor.

“Tiada apa yang saya sekeluarga harapkan kecuali melihat mereka segera sembuh dan disatukan semula,” katanya.

Menurut Emmy, niatnya berkongsi kisah itu di Fb adalah untuk mengharapkan doa daripada rakannya tetapi terkejut apabila hantaran berkenaan turut mendapat perhatian warganet.

“Hantaran berkenaan dimuat naik dengan harapan rakan Fb yang melihatnya dapat mendoakan sepupu saya,Fatin dan bayinya kembali sihat serta ada sinar harapan untuk suaminya sedar.

“Tak sangka, perkongsian itu mendapat perhatian warganet dan bagi pihak keluarga, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi kata semangat walaupun tidak mengenali Fatin mahupun suaminya,” katanya. HM

6 bulan koma kecederaan otak, remaja ini kekal positif mencari kerja demi kelangsungan hidup

Leave a Reply