Idea Pandang Ke Borneo, Pemikiran Jauh Diluar Kotak - Abdul Rahman Dahlan · MYKMU.NET

Idea Pandang Ke Borneo, Pemikiran Jauh Diluar Kotak – Abdul Rahman Dahlan

Share

Dua hari yang lalu, ahli parlimen Pekan dan mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak telah memperkenalkan idea Dasar Pandang ke Borneo di parlimen.

Dalam ucapan bajet beliau, Najib mencadangkan supaya sudah tiba masanya untuk Sabah dan Sarawak dijadikan tumpuan pelabur domestik dan antarabangsa. Menurut beliau, Sabah dan Sarawak mempunyai potensi yang cukup besar untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara kita.

Saya ucapkan terima kasih dan syabas kepada Najib kerana mempunyai visi luar kotak yang jarang difikirkan oleh orang lain. Idea Dasar Pandang ke Borneo ini adalah satu dasar yang menarik dan mampu meransang ekonomi Malaysia selain menjadikan Sabah dan Sarawak enjin ekonomi negara yang baru.

Memang benar Sabah dan Sarawak boleh menjadi pencetus baru ekonomi (new economic catalyst) buat negara Malaysia. Ini bergantung kepada kesudian dan keberanian kerajaan pusat untuk membuat perubahan besar dalam strategi ekonomi negara.

Untuk menambah nilai cadangan Datuk Sri Mohd Najib itu, semasa saya menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonominya (2016-2018), saya juga telah menzahirkan beberapa cadangan baru untuk menambah baik pengurusan ekonomi negara. Antara lainnya ialah:

Cadangan Najib ‘Pandang ke Borneo’ akan manfaatkan Malaysia, kata pakar ekonomi

1) Tunai, bukannya projek.
Semua peruntukan kerajaan pusat kepada dibuat secara tunai kepada kerajaan negeri dan bukannya melalui kementerian-kementerian kerajaan pusat. Kerajaan negeri akan mengurus proses mengenal pasti projek yang sesuai untuk mereka, mengurus proses tender, memantau status projek, menjalankan audit dan melaporkan semula status kepada kerajaan pusat.

Negeri Sabah dan Sarawak mengamalkan sistem kabinet sama seperti kerajaan pusat. Ini diwajibkan oleh perlembagaan negeri masing-masing.

Sabah contohnya mempunyai Kementerian Pertanian, Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Perlancongan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Kebajikan. Banyak kerja dan tugasan kementerian pusat boleh diambil alih oleh kerajaan negeri tanpa masalah besar.

Audit dan SOP kewangan yang ketat boleh dibuat oleh kerajaan pusat dan pertanggungjawaban boleh diletakkan dibahu kerajaan negeri termasuk melaporkan semula status perbelanjaan setiap kementerian negeri kepada kerajaan pusat.

Dengan pendekatan ini, kerajaan negeri boleh menentukan mana satu projek keutamaan kepada rakyat Malaysia di negeri mereka. Keputusan tidak lagi ditentukan oleh birokrat yang duduk jauh di Putrajaya yang sudah tentu tidak akan mampu memahami sepenuhnya kehendak rakyat tempatan di Sabah dan Sarawak.

Bukan sekadar itu, kerajaan Pusat juga akan dapat menjimatkan kos pengurusan yang besar kerana selama ini pegawai-pegawai dari Putrajaya berulang alik menaiki kapal terbang dan tinggal di hotel. Selain itu, kementerian kerajaan pusat dan agensi-agensi dibawahnya juga terpaksa mengujudkan pejabat di negeri tersebut. Kadang-kadang kementerian kerajaan pusat terpaksa mengujudkan beberapa pejabat.

Contohnya di Sabah, kementrian kerajaan pusat terpaksa mengujudkan pejabat bukan sahaja di Kota Kinabalu tetapi juga di Sabdakan dan Tawau. Begitu juga di Sarawak. Selain Kuching, pejabat kementerian pusat juga perlu diujudkan di Sibu, Bintulu dan Miri. Ini belum lagi bercakap mengenai kos kereta pejabat, tempat tinggal pegawai, kos perjalanan dan sebagainya.

Secara logiknya, kerajaan pusat boleh mengurangkan perbelanjaan mengurus dengan ketara dan menyelesaikan keluhan kerajaan pusat yang selalu mengadu tentang kos pengurusan (operating cost) kerajaan pusat yang semakin membengkak.

Keputusan mengenai sesuatu projek juga dapat dibuat dengan cepat kerana pegawai-pegawai kementerian kerajaan negeri sudah memahami isu dan masalah diakar umbi.

Dengan adanya peruntukan tunai, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak akan dapat mempertingkatkan keberkesanan (efficiency) penyampaian perkhidmatan mereka dengan adanya pengalaman berterusan mengurus projek-projek dan dasar kerajaan pusat.

Sekarang ini, pencapaian pegawai-pegawai kementerian kerajaan negeri tidak dapat dimaksimumkan kerana mereka hanya mengurus projek berdasarkan peruntukan kerajaan negeri yang agak kecil.

Pendekata ini adalah “Win-win-win situation” untuk semua pihak. Kerajaan Pusat dapat mengurangkan kos pengurusan secara drastik, kerajaan Negeri pula akan dapat memaksimumkan kewujudan kementerian mereka, sementara rakyat pula akan mendapat perkhidmatan yang cekap dan cepat berdasarkan citarasa mereka.

Cadangan Pandang ke Borneo Najib ada merit, Rahman beritahu Putrajaya

2) Satu Negara, Satu Harga

Sabah dan Sarawak adalah negeri pengeluar minyak terbesar negara. Namun, rakyatnya masih tidak menikmati tahap pembangunan yang setara dengan semenanjung Malaysia. Pendapatan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak rendah dibandingkan dengan semenanjung Malaysia. Peluang pekerjaan juga tidak mencukupi.

Masalah pendapatan yang rendah ditambah pula dengan kos barangan yang tinggi. Kedua-dua faktor ini menyebabkan kehidupan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak amat mencabar sekali. Tidak hairanlah, rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak sentiasa mengeluh dengan tanggapan ketidakadilan ekonomi ini.

Kerajaan pusat boleh membuat satu dasar baru iaitu mewajibkan pengilang dan perniagaan menyamaratakan harga barangan di seluruh Malaysia. Tidak perlu lagi ada satu harga untuk semenanjung dan satu harga berlainan untuk Sabah dan Sarawak yang tinggi dari harga semenanjung.

Alasan yang selalu digunakan oleh pengilang dan perniagaan untuk mengenakan harga tinggi untuk Sabah dan Sarawak ialah kos penghantaran. Yang menghairankan, kenapa harga barangan di seluruh semenanjung boleh pula diselaraskan walaupun ada kos penghantaran ke negeri-negeri yang jauh seperti Kelantan dan Perlis? Maksudnya pengguna di negeri pengeluar barangan (contohnya Selangor, Johor dan Pulau Pinang) akan membayar harga lebih sedikit untuk mensubsidi kos penghantaran ke pengguna di negeri bukan pengeluar barangan (contohnya di Kelantan dan Perlis).

Sebab itu, menyeragamkan harga seluruh Malaysia tidak akan memberi kesan yang besar akibat kenaikkan harga kepada pengguna di semenanjung kerana pengguna di Sabah dan Sarawak tidak seramai pengguna di semenanjung. Lagi pun kuantiti yang dibeli oleh pengguna di Sabah dan Sarawak jauh lebih rendah dari semenanjung.

Menyamaratakan harga barangan bagi seluruh Malaysia bukan sahaja dasar ekonomi yang adil, ia juga adalah “tanggungjawab moral” kerajaan pusat kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang berdepan dengan kesan melemahkan (debilitating impact) berikutan kos kehidupan yang tinggi dan pendapatan yang rendah, walaupun Sabah dan Sarawak menyumbang hasil minyak kepada negara.

3) Fokus kepada kawasan terkesan PTI

Menurut satu kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kerajaan pusat sesebuah negara perlu menambah peruntukan pembangunan di kawasan yang terkesan teruk akibat lambakan pendatang tanpa izin (PTI). Menurut PBB, adalah tidak adil kepada rakyat di kawasan terkesan itu menanggung bebanan yang tidak adil dengan rakyat kawasan lain akibat kehadiran PTI yang ramai di kawasan mereka.

Rakyat Malaysia di Sabah terutamanya di pantai timur (Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Tawau) terpaksa berkongsi perkhidmatan awam seperti hospital, pengangkutan awam, sekolah, perlindungan polis dan subsidi dengan PTI. Mereka juga terpaksa bersaing dengan PTI dalam peluang pekerjaan dan perniagaan.

Oleh kerana masalah PTI tidak dapat dikongsi kerana sukar memindah mereka ke negeri-negeri lain dalam Malaysia, maka adalah adil kerajaan pusat menambahkan kemudahan perkhidmatan awam di Sabah terutamanya di pantai timur Sabah.

Agak malang melihat rakyat Malaysia di pantai timur Sabah berebut tempat duduk dengan PTI dalam pengangkutan awam, berebut untuk membeli beras subsidi, berebut untuk mendapatkan pekhidmatan kesihatan di hospital kerajaan, berebut peluang pekerjaan, berebut peluang berniaga dan berebut mendapatkan perkhidmatan polis kerana PDRM terpaksa juga mengarahkan tenaga kerja mereka, yang memang pun sudah terhad, untuk memantau kawasan dan tindak tanduk PTI.

Ada banyak lagi cadangan lain seperti:

1) Meningkatkan perkhidmatan pelabuhan dan infrastruktur awam yang menyebabkan kos barangan di Sabah dan Sarawak lebih tinggi.

2) Mewajibkan semua pengusaha besar kelapa sawit, koko dan minyak/gas di Sabah dan Sarawak membina perniagaan hiliran mereka di Sabah dan Sarawak supaya peluang pekerjaan dapat diujudkan untuk rakyat tempatan dan bukannya membina kilang hiliran mereka di semenanjung atau di negara lain. Malah saya cadangkan ibu pejabat mereka mesti juga terletak di Sabah atau Sarawak.

3) Tambahbaik jaringan internet berkelajuan tinggi di seluruh Sabah dan Sarawak dan rantaian bekalan (supply chain) supaya perniagaan online dapat diusahakan oleh rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak kerana di Sabah dan Sarawak tidak ada Bukit Bintang dan KLCC yang menjadi lokasi pilihan utama peniaga untuk membuka kedai disebabkan pengunjung yang ramai di sana. Sektor pendidikan juga akan mendapat manfaat kerana pelajar, guru, sekolah dan kolej serta universiti mempunyai akses kepada internet berkelajuan tinggi.

4)Jadikan Lapangan Terbang Kota Kinabalu sebagai hub penerbangan kargo dan penerbangan kos rendah kerana, seperti yang dimaklumkan oleh Najib dalam ucapannya, Sabah dan Sarawak lebih dekat dengan negara lain seperti China, Jepun dan Austrlia dibandingkan dengan Kuala Lumpur.

5) Kerajaan pusat dan kerajaan negeri mesti bekerjasama untuk menawarkan satu insentif pelaburan yang baru dan luar biasa kepada pelabur yang ingin melabur di Sabah dan Sarawak.
Setiap pelabur akan bersetuju untuk melabur jika insentif yang diberikan cukup menarik.

Buat masa ini, di Sabah dan Sarawak, peluang pekerjaan hasil dari pelaburan itu jauh lebih penting dan mendesak dari peluang mendapatkan cukai daripada pelabur.

Ingat, pelabur akan melabur jika untung mereka lebih banyak dari kos perniagaan mereka.

6) Bina infrastruktur seperti jalanraya menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia untuk meningkatkan akses kepada pasaran baru dan pergerakan barangan dan penumpang. Bila pasaran Sabah, Sarawak dan Kalimantan bergabung, maka akan ujud pasaran yang cukup besar.

Semua cadangan di atas (dan cadangan-cadangan yang baik dari orang lain) perlu diikhtiarkan.

Semoga hasrat setiap rakyat Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebuah negara terangkum (inclusive) dengan dasar keadilan ekonomi (economic justice) yang menyeluruh akan tercapai.
Terima kasih.

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia
Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran.

Leave a Reply