Cadangan Najib ‘Pandang ke Borneo’ akan manfaatkan Malaysia, kata pakar ekonomi

Pakar ekonomi berpendapat, cadangan bekas perdana menteri, Najib Razak agar kerajaan mewujudkan pelan strategik atau visi “pandang ke Borneo” bukan saja akan memanfaatkan Sabah dan Sarawak, tetapi juga Malaysia secara keseluruhannya.

Firdausi Suffian dari Universiti Teknologi Mara berkata, negara akan mendapat banyak kebaikan daripada pelaksanaan cadangan itu, terutamanya dengan pemindahan ibu negara Indonesia daripada Jakarta ke Kalimantan.

“Sudah tiba masanya kita menyusun semula pelan ekonomi kita kerana kita sekarang dalam proses pemulihan dan memperkasakan semula ekonomi.

“Menyusun semula itu maksudnya antara Malaysia, iaitu Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan, iaitu meningkatkan lagi perdagangan kita dengan Indonesia, khususnya di Kalimantan.




“Apabila ibu kota Indonesia dipindah ke Kalimantan Utara, sudah pasti ia merancakkan perdagangan antara kedua-dua negara, sekali gus membawa banyak aktiviti perniagaan ke Sabah.

“Jika mereka (Kalimantan) memerlukan prasarana, kita boleh sediakan. Tenaga elektrik di Sarawak sudah ada (Empangan) Bakun, begitu juga internet dan bagi Sabah pula, kita boleh sediakan dari segi makanan, barang runcit serta pemprosesan kelapa sawit,” katanya kepada FMT.

Firdausi berkata, walaupun pemindahan ibu negara Indonesia itu belum berlaku, persefahaman kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara Malaysia dan Indonesia perlu dimulakan untuk memastikan perdagangan dua hala berjalan lancar.

“Kalau kita lihat, contohnya di Sabah, pelaburan dan perdagangan kita terlalu bergantung kepada China dan apabila Wuhan dilanda Covid-19, semuanya ‘hilang’.



“Ini bukan bermaksud kita perlu menukar sepenuhnya perdagangan sedia ada, tetapi kita perlu mempelbagaikannya, terutama dengan Kalimantan.”


Sementara itu, pakar ekonomi dan felo di Akademi Sains Malaysia, Madeline Berma berkata, sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan model ekonomi yang mengutamakan keseimbangan antara Sabah, Sarawak serta Semenanjung.

“Saya bersetuju dengan pandangan Najib kerana kita memerlukan anjakan paradigma dan model ekonomi Malaysia pasca Covid-19 serta model ekonomi yang mengutamakan keseimbangan serta merapatkan jurang antara 3 wilayah ini (Sabah, Sarawak dan Semenanjung).

“Selain itu, keseimbangan ekonomi juga perlu berlaku di Sabah sendiri, iaitu antara kawasan bandar raya, bandar, luar bandar dan juga pedalaman.



“Sehubungan itu, satu model baru yang menitikberatkan kesaksamaan peluang dan keberhasilan perlu diwujudkan.”

Beliau berkata, Putrajaya juga perlu mempunyai dasar memajukan Sabah dan Sarawak dengan menyalurkan peruntukan lebih banyak.

“Bukan sekadar dasar ‘pandang’ ke Sabah dan Sarawak semata-mata, sudah tiba masanya untuk menggubal dasar dengan memberikan peruntukan pembangunan lebih banyak kepada Sabah dan Sarawak.

“Peruntukan yang diberikan juga bukan dari segi nilai (jumlah peruntukan), tetapi mengikut keperluan pembangunan.”



Semalam, Najib dalam perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat mencadangkan visi atau pelan “pandang ke Borneo” kerana Sabah dan Sarawak kaya dengan sumber semula jadi serta mempunyai lokasi strategik.

“Adalah tidak masuk akal, jika kita menggalakkan syarikat-syarikat dari Malaysia untuk melabur ke luar negara tanpa memberi peluang mereka melabur di Sabah dan Sarawak yang penuh dengan potensi.”

Najib percaya langkah itu boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi seluruh negara bagi jangka sederhana dan panjang. FMT

Filipina makin melampau, buka Biro Borneo Utara



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker