Bandar Baru Salak Tinggi ‘dikurung’

Share

SEPANG – Beberapa laluan masuk ke kawasan perniagaan Bandar Baru Salak Tinggi di sini mulai ditutup dipercayai menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokasi itu, bermula tengah malam tadi.

Tinjauan Kosmo! mendapati, kerja-kerja pemasangan penghadang laluan bermula kira-kira pukul 7 malam dengan laluan terlibat ditutup dengan kawat duri dan penghadang bongkah konkrit.

Selain itu, turut kelihatan beberapa anggota polis dan anggota tentera bersiap sedia mengawal laluan keluar masuk kawasan terbabit.

Tinjauan juga mendapati rata- rata penghuni rumah kedai di kawasan terbabit yang kebanyakannya adalah warga asing terkejut dengan situasi tersebut.

Mereka yang dipercayai bekerja di kawasan berhampiran bagaimanapun memberi kerjasama dengan kekal di premis masing-masing.

Terdahulu, operasi penutupan jalan itu diketuai oleh Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof.

Beliau berkata, kawasan berkenaan dipercayai mempunyai kes penularan Covid-19 membabitkan Kluster Bah Medan dari Sabah.

“Seramai 100 anggota polis ditempatkan bagi mengawal sekeliling premis perniagaan di kawasan tersebut buat masa ini,” katanya.

Setakat ini, masih tiada pengumuman mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Baru Salak Tinggi dibuat oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Difahamkan, pengumuman itu berkemungkinan akan dibuat hari ini namun tiada pengesahan diperoleh daripada pihak Kementerian Pertahanan. K! ONLINE

Leave a Reply