Cadangan Pandang ke Borneo Najib ada merit, Rahman beritahu Putrajaya

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan bersetuju dengan cadangan “Pandang ke Borneo” oleh bekas perdana menteri Najib Razak tetapi kerajaan persekutuan mesti berani melaksanakan perubahan begitu besar.

Rahman, yang pernah menjadi menteri dalam Kabinet bekas perdana menteri itu, yakin Sabah dan Sarawak boleh menjadi pencetus ekonomi kepada negara tetapi ia memerlukan kerajaan membaik pulih strategi ekonomi.

Bercakap mengenai cadangan Najib, Rahman pernah mencadangkan beberapa penambahbaikan ketika menjadi menteri bertanggungjawab terhadap unit perancangan ekonomi di jabatan perdana menteri.

Beliau berkata, salah 1 cadangan ialah kerajaan persekutuan harus menyalurkan peruntukan tunai secara terus kepada kerajaan negeri, bukan melalui kementerian kerajaan pusat.

“Kerajaan negeri akan mengenal pasti projek sesuai (dengan) mengurus proses tender, memantau status projek, menjalankan audit dan melaporkan semula status kepada kerajaan pusat,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

“Dengan adanya peruntukan tunai, kerajaan Sabah dan Sarawak akan dapat mempertingkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan mereka (kerana) pencapaian pegawai kementerian kerajaan negeri tidak dapat dimaksimumkan kerana mereka hanya mengurus projek berdasarkan peruntukan kerajaan negeri yang agak kecil.”

Rahman berkata, Sabah dan Sarawak mempunyai kementerian sama berbanding kerajaan persekutuan dan kebanyakan tugas boleh diambil alih kerajaan negeri tanpa sebarang isu ketara.

“Dengan pendekatan ini, kerajaan negeri boleh menentukan mana 1 projek yang menjadi keutamaan kepada rakyat di negeri mereka.

“Keputusan tidak lagi ditentukan birokrat yang duduk jauh di Putrajaya yang sudah tentu tidak akan mampu memahami sepenuhnya kehendak rakyat tempatan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan persekutuan juga akan dapat menjimatkan kos pengurusan yang besar kerana selama ini pegawai dari Putrajaya berulang alik menaiki kapal terbang dan tinggal di hotel di 2 negeri berkenaan.

“Pendekatan ini adalah ‘win-win-win situation’ untuk semua pihak (kerana) kerajaan pusat dapat mengurangkan kos pengurusan secara drastik, kerajaan negeri pula akan dapat memaksimumkan kewujudan kementerian mereka sementara rakyat pula akan mendapat perkhidmatan yang cekap.”

Ketika di Dewan Rakyat semalam, Najib berkata syarikat Malaysia harus digalakkan melabur di Sabah dan Sarawak yang mempunyai potensi besar untuk membangun dan menyatakan negeri Malaysia Timur kaya dengan sumber semula jadi.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, langkah berkenaan juga akan mendatangkan manfaat apabila Indonesia memindahkan ibu negerinya ke Kalimantan.

Rahman berkata, cadangan lain ialah kerajaan persekutuan harus merangka dasar yang mewajibkan pengilang dan perniagaan menyamaratakan harga barangan di seluruh negara.

“Tidak perlu lagi ada 1 harga untuk Semenanjung dan 1 harga berlainan untuk Sabah dan Sarawak yang tinggi daripada harga Semenanjung.

“Alasan yang selalu digunakan pengilang dan perniagaan untuk mengenakan harga tinggi untuk Sabah dan Sarawak adalah kos penghantaran,” katanya.

Rahman berkata, ia mengelirukan mengapa kos penghantaran tidak dijadikan faktor kepada negeri yang “jauh” seperti Kelantan dan Perlis di Semenanjung.

“Maksudnya pengguna di negeri pengeluar barangan seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang akan membayar harga lebih sedikit untuk mensubsidikan kos penghantaran kepada pengguna di negeri bukan pengeluar barangan seperti Kelantan dan Perlis.”

Beliau berkata, tindakan menyeragamkan harga di seluruh negara tidak akan mewujudkan isu ketara kerana pengguna di Sabah dan Sarawak dan kuantiti pembelian lebih rendah berbanding Semenanjung.

“Ia bukan saja dasar ekonomi yang adil (tetapi) ia juga adalah ‘tanggungjawab moral’ kerajaan pusat,” kata Rahman. FMT

Cadangan Najib ‘Pandang ke Borneo’ akan manfaatkan Malaysia, kata pakar ekonomi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker