NKR Bantu Penuhi Selera Peminat Nasi Kandar P. Pinang

Kepingin sangat-sangat nasi kandar Pulau Pinang yang asli namun apakan daya tidak boleh memandu ke Pulau Mutiara untuk menikmatinya susulan Perintah  Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sekarang ini?

Bagaimanapun, penduduk terutama di Lembah Klang boleh menarik nafas lega kerana kini  berpeluang mendapatkannya dan terima kasih di atas penghasilan satu teknologi dan idea perniagaan yang diilhamkan selepas PKP dilaksanakan pada Mac.

Temui pengasas dan pemilik “Nasi Kandaq Runner” atau NKR, Alnazree Mahshar, 42, yang mendapat idea pada Mac lepas untuk memulakan perniagaan itu dengan membawa terus nasi kandar autentik dari Pulau Pinang untuk penduduk di Lembah Klang.



Alnazree dan 12 rakan dan ahli keluarganya telah bersama-sama memulakan NKR, yang kesemua mereka juga adalah peminat tegar nasi kandar Pulau Pinang. Perkhidmatan mereka melibatkan pengambilan tempahan menerusi WhatsApp dan kemudian mereka secara bergilir-gilir memandu sejauh 350 kilometer ke Pulau Pinang sebanyak dua kali seminggu untuk mengambil tempahan makanan itu.

Pakej tempahan itu terdiri daripada nasi putih beserta pelbagai jenis kuah dan diiringi lauk sampingan  yang dimasak enak seperti ayam, daging, kambing, sotong, sayur, cili hijau dan telur masin yang kemudian diambil pelanggan di tujuh pusat pengambilan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Semasa NKR memulakan perkhidmatan pengambilan khas nasi kandar Pulau Pinang pada Julai, mereka mempunyai 30 pelanggan terdiri daripada rakan-rakan dan ahli keluarga. Namun hari ini, dalam tempoh beberapa bulan sahaja, pelanggan mereka telah bertambah kepada lebih 1,000 orang dan mendapat kira-kira 700 tempahan untuk setiap trip.

Langgar SOP: 2 restoran nasi kandar di Kepala Batas diarah tutup 7 hari



 

BAGAIMANA IA BERMULA

Alnazree berkata, idea perniagaan penghantaran nasi kandar Pulau Pinang tercetus selepas krisis COVID-19 yang menjejaskan perniagaan hariannya yang berkaitan pembelian dan penjualan gajet buatan China secara dalam talian.



“Perniagaan runcit secara dalam talian memerlukan saya berkunjung ke China untuk mendapatkan barangan berkenaan. Tetapi apabila berlaku COVID-19 ia menjejaskan bekalan kerana saya tidak boleh  berkunjung ke sana,” katanya.

Pengalaman berniaga dalam talian itu digunakan oleh Alnazree untuk membina satu laman web bagi  NKR yang memaparkan ‘menu’ dan membolehkan pelanggan membuat tempahan dan pembayaran makanan kegemaran mereka.

Gembira dengan sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan, beliau berkata, pelanggan hanya perlu membayar tambahan caj penghantaran berjumlah RM4 selain harga pakej makanan yang mereka tempah.

“Kami amat teruja apabila pelanggan kami – yang terdiri daripada orang Melayu, Cina dan India – suka dengan perkhidmatan kami dan sudah tentunya mereka turut gembira menikmati makanan itu,” katanya dan menambah bahawa setakat ini mereka mempunyai tujuh pusat pengambilan iaitu Bukit Jelutong, Taman Tasik Shah Alam, Taman Tun Dr Ismail, Bangsar, Setiawangsa, Rawang dan Putrajaya – di mana pelanggan boleh mengambil tempahan masing-masing.



“Tidak lama lagi kami akan membuka tiga lagi pusat pengambilan iaitu di Subang Jaya, Klang dan  Ipoh,” tambah beliau.

Tempahan awal vaksin Covid-19 selepas dapat kelulusan KKM, kata Khairy

 



PELBAGAI LAGI MENU 

Alnazree berkata, bagi meningkatkan lagi kepuasan pelanggan agar ia tidak terhad kepada tempahan nasi kandar sahaja kerana Pulau Pinang juga terkenal dengan makanan lain seperti Mee Hameed Patapasemborsotong bakar dan murtabak, turut ditambah dalam menu NKR.

“Dengan tambahan jenis makanan itu, kami berharap dapat menambah lagi jumlah pelanggan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Kenny Low, 43, yang berasal dari Pulau Pinang dan menetap di Lembah Klang sejak 10 tahun lepas berkata, beliau menempah nasi kandar imigresen dari NKR kerana “mengenang kembali zaman kanak-kanak saya”.



Katanya, beliau telah menikmati nasi kandar imigresen sejak berumur sembilan tahun semasa generasi pertama keluarga pemilik nasi kandar itu memulakan perniagaan.

“Saya sering balik ke Pulau Pinang sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun dan setiap kali balik saya akan pasti berkunjung ke kedai itu dan menikmati makanan di situ bersama-sama keluarga saya. Kini dengan normal baharu, saya benar-benar bergantung kepada NKR untuk memenuhi selera saya,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Siti Radziah Hamzah, 35, berkata, beliau telah lima kali menempah nasi kandar dan makanan lain yang disenaraikan dalam menu NKR.

“Tidak sekalipun saya kecewa dengan makanan atau perkhidmatan yang disediakan. Pihak runner pula mesra dan banyak membantu manakala makanannya sungguh lazat,” katanya.

 

Diterjemah oleh Cik Rashidah Abd Ghani

BERNAMA  

Mahathir sanggup potong pencen 10 peratus? Celah gigi saja..

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker