Tempahan awal vaksin Covid-19 selepas dapat kelulusan KKM, kata Khairy

Kerajaan akan mula membuat tempahan awal vaksin Covid-19 menerusi peruntukan berjumlah lebih RM3 bilion dalam Belanjawan 2021, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, pihaknya yakin peruntukan itu mencukupi bagi membuat tempahan awal vaksin berkenaan yang dianggarkan diperoleh suku pertama tahun depan selepas mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita akan mula buat tempahan awal kepada vaksin yang sedang dibangunkan itu. Saya jangka dalam tempoh sebulan 2 ini kita akan dapatkan maklumat keberkesanan vaksin itu daripada KKM,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan terjejas banjir hari ini.

Khairy merupakan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin Covid-19.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 semalam berkata kerajaan komited mendapatkan sumber vaksin Covid-19 antaranya melalui penyertaan Program Covid-19 Vaccine Global Access (Covax) dengan jangkaan kos bekalan vaksin melebihi RM3 billion.

Dalam pada itu, Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau menyifatkan peruntukan RM400 juta untuk penyelidikan dan pembangunan bagi menyokong perkembangan sains dan teknologi penting untuk mengkomersialkan produk ciptaan negara dan teknologi tempatan.

“Kita tak mahu hanya bergantung kepada teknologi luar negara yang mana melibatkan kos pembelian agak tinggi, jadi dengan adanya dana yang besar ini, ia akan ditumpukan pada penyelidikan produk dan teknologi dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Khairy yang juga pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sembilan berkata pihaknya akan menyalurkan anggaran peruntukan berjumlah RM500,000 untuk membaik pulih jalan yang terputus dan membina semula tebing sungai Kampung Kuala Sawah yang runtuh susulan banjir Rabu lalu.

Sungai itu turut menghubungkan beberapa kawasan termasuk Kampung Stesen, Kampung Pasir, dan Pekan Kuala Sawah. Bernama

RM18b wang GST ‘dirompak’: Khairy akan buat laporan polis, SPRM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker