Laksana PKPB untuk elak situasi lebih buruk

Kuala Lumpur: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Semenanjung Malaysia kecuali tiga negeri dibuat ekoran peningkatan kes Covid-19 di setiap negeri itu, selain terdapat keperluan untuk pendekatan lebih tegas dan berani sebelum keadaan bertambah buruk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menjelaskan, keputusan itu juga susulan laporan kes Covid-19 harian tertinggi pernah direkodkan Malaysia pada 6 November lalu, iaitu 1,755 kes.

“Berdasarkan situasi ini, Kementerian Kesihatan segera melaksanakan penilaian risiko dan mendapati bahawa terdapat peningkatan ketara bilangan kes positif Covid-19 dan kadar kebolehjangkitan di negeri-negeri itu,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.



Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai rasional pelaksanaan PKPB di tujuh negeri yang bermula semalam pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Kerajaan hari ini tidak sah, tegas Mahathir dan Anwar

Kerajaan membuat keputusan melaksanakan PKPB di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang selama empat minggu bermula 9 November sehingga 6 Disember.



Mohd Redzuan berkata, susulan keputusan itu, prosedur operasi standard (SOP) yang diwujudkan bagi mengatasi penularan di kawasan PKPB akan diperketatkan terutama bagi aktiviti sosial termasuk di kawasan terkawal seperti penjara, lokap dan Pusat Tahanan Sementara.

Beliau berkata dengan pelaksanaan SOP PKPB itu, orang ramai perlu mendapatkan kebenaran untuk melakukan rentas negeri.

“Sekatan rentas negeri bagi semua tujuan selain kegiatan ekonomi dan bekerja dilaksanakan di seluruh negara dengan kawalan sekatan jalan raya di semua sempadan negeri bermula 12.01 tengah malam 9 November.

“Sekatan tegas perlu dilaksanakan terhadap sebarang aktiviti sosial oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.



Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang melibatkan tiga soalan dihadkan hanya selama lima minit dengan jawapan diberikan secara bertulis, berbanding kebiasaannya selama 30 minit.

Selepas selesai tiga soalan yang diajukan oleh tiga Ahli Parlimen, Azalina mengingatkan kesemua Ahli Parlimen bahawa mereka kini berada di dalam persidangan normal baharu.

“Sebenarnya, saya rasa kita ini berada dalam normal baharu, jadi kita mungkin kena panggil soalan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri kepada Perintah Kawalan Pertanyaan-Pertanyaan Menteri,” katanya berseloroh.

16 ringkasan PKPB di seluruh Sabah



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker