Malaysia perlu belanjawan ‘perang’ berani, inklusif, memberi inspirasi, kata Najib · MYKMU.NET

Malaysia perlu belanjawan ‘perang’ berani, inklusif, memberi inspirasi, kata Najib

Share

Najib Razak
Najib Razak berkata Malaysia perlukan belanjawan “perang” yang berani, inklusif, dan memberi inspirasi kepada rakyat menghadapi “situasi yang amat menggerunkan ketika ini”.

Najib ketika membahaskan Belanjawan 2021 berkata kerajaan perlu faham ketakutan dan kerisauan rakyat yang mengharapkan ia “menunjukkan jalan keluar bagi mereka dan negara”.

Belanjawan perlu dilihat inklusif dan memastikan semua rakyat berasa terbela, tambahnya.

“Pastikan tidak ada mana-mana yang tercicir,” tegas bekas presiden Umno.

“Jika ada peruntukan khusus untuk kaum Cina atau India, sila nyatakan dengan jelas. Jika tiada sila tambah. Umpamanya keperluan untuk menyambung pelaksanaan ‘Malaysian Indian Blueprint’ yang dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

Najib tidak menerima cadangan kerajaan untuk membenarkan pencarum mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan, sebaliknya pengeluaran secara sekali beri sebanyak RM10,000 lebih perlu.

“Pembayaran ‘one-off’ ini boleh digunakan sebagai penyelesaian hutang tunggakan mereka seperti bil utiliti, bayaran sewa atau pinjaman rumah, keperluan untuk anak-anak, caruman insurans tertunggak dan sebagainya,” katanya.

Wang tersebut juga boleh digunakan sebagai modal asas untuk memulakan perniagaan kecil terutama bagi mereka yang kehilangan kerja, tambahnya.

“Janganlah sampai rakyat berkata: Yang dimintak KWSP, tetapi yang didapat adalah P-K-P-B!” katanya.

Najib juga menggesa kerajaan mempertimbangkan “sehabis baik” pemanjangan secara pukal dan automatik moratorium ke atas pembayaran pinjaman bank sehingga 6 bulan, mengingatkan perintah kawalan pergerakan yang dilanjutkan berkali-kali menjejaskan pendapatan rakyat.

Sedangkan, katanya, bank masih meraih keuntungan yang besar.

“Pada bajet kali ini, kerajaan hanya memanjangkan moratarium kepada golongan B40, itu pun tidak kepada semua. Ini secara tidak langsung seakan-akan melupakan golongan M40 yang juga menerima kesan yang besar daripada situasi yang kita hadapi kini.”

“Takkan kerajaan nak tunggu M40 berubah B40, baru mereka diberi moratorium?” soalnya.

Najib juga berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan lain, seperti bayaran segera sebanyak RM1,000 untuk setiap penerima Bantuan Prihatin Nasional yang layak, khusus bagi Sabah yang paling terjejas.

Di samping itu, pengurangan yuran pengajian para pelajar di institusi pengajian tinggi, dan kos data internet pada kadar minimum bagi tujuan pembelajaran dalam talian, jika tidak boleh diberi secara percuma.

Tentang kadar pembayaran BPN, Najib berpendapat ia perlu ditambah baik sehingga maksimum RM2,000.

Beliau juga mencadangkan konsep “green lane” untuk memudahkan pelabur asing yang sudah ditapis Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri masuk tanpa SOP yang terlalu ketat.

Berserta konsep itu, Najib mencadangkan kerajaan mengambil pendekatan “Pandang ke Timur” dalam wawasan dan pelannya, “tetapi bukanlah sejauh ke Jepun”.

“Cukuplah sehingga kita pandang ke Borneo iaitu Sabah, Sarawak, dan juga Kalimantan,” katanya, mengingatkan kedua-dua wilayah Malaysia itu mempunyai sumber semulajadi yang amat besar dan strategik, “lebih dekat dengan negara yang pesat membangun di Asia Timur berbanding Semenanjung”.

Kerajaan juga diingatkan Indonesia mula memindahkan pusat pentadbirannya ke Kalimantan.

“Adalah tidak masuk akal, jika kita menggalakkan syarikat-syarikat dari Malaysia untuk melabur ke luar negara tanpa sulit memberi peluang mereka melabur di Sabah dan Sarawak yang penuh dengan potensi.”

Najib percaya langkah-langkah ini boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi seluruh negara bagi jangka masa sederhana dan panjang.

Dalam pada itu, Najib juga menyarankan kerajaan jangan terlalu bergantung kepada ramalan agensi luar seperti Tabung Kewangan Antabangsa, mengatakan IMF tidak ada pengalaman untuk membuat ramalan dalam keadaan pandemik global yang sangat tidak menentu.

Beliau, sebenarnya, bimbang “revenue projection” untuk 2021 mungkin tersasar dan tidak mencapai tahan yang diandaikan memandangkan keadaan ekonomi yang begitu lemah menyebabkan pendapatan syarikat dan individu merosot mendadak.

Pemimpin Umno ini, antara parti yang menyokong kerajaan, sempat membidas kenaikan peruntukan 4 kali ganda bagi Jabatan Hal Ehwal Khas, mengatakan ketika krisis, peruntukan lebih diperlukan untuk selamatkan rakyat.

Katanya, kenaikan itu sukar diterima orang ramai dan mengundang kemarahan.

“Suara rakyat, suara keramat. Perkara yang tidak disenangi rakyat jangan diteruskan.” FMT

‘Sabah perlukan bantuan sekarang bukan tahun depan’ – Bossku

Leave a Reply