Kerajaan hari ini tidak sah, tegas Mahathir dan Anwar

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini tidak sah kerana dibentuk tanpa mendapat mandat daripada rakyat, tegas Pengerusi Bersatu, Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Kedua-dua pemimpin politik itu berkata kini masanya telah tiba agar mandat berkenaan ‘dikembalikan kepada pihak yang sepatutnya’.

Perkara itu ditegaskan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena memperingati ulangtahun kedua kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

“Memahami situasi ini, kami tidak mengiktiraf kerajaan hari ini. Prinsip kami jelas dari hari pertama kerajaan ini tertubuh, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat.

“Ia tidak diperoleh secara sah menurut kertas undi di dalam pilihan raya. Ia didasari sikap tamak kepada pangkat dan jawatan semata-mata,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kedua-dua pemimpin itu lagi, mereka tidak sanggup “menggadaikan moral dan etika” untuk menyokong kerajaan hari ini.

“Kami tidak ingin mengkhianati rakyat yang menghabiskan berjam-jam untuk beratur di pusat mengundi, beratus ringgit untuk terbang pulang mengundi, mengambil cuti tanpa gaji untuk membawa suara mengubah nasib negara.

“Masanya telah tiba untuk kita bangkit semula dan berusaha mengembalikan mandat rakyat ke pihak yang sepatutnya,” tegas kedua-dua pemimpin itu.

Pada pilihan raya umum 2018, PH mencipta sejarah apabila menumbangkan kerajaan BN pimpinan perdana menteri ketika itu, Najib Razak yang terpalit dengan skandal 1MDB.

Namun, kerajaan baru yang dipimpin Mahathir itu hanya mampu bertahan selama 21 bulan selepas beliau meletakkan jawatan pada Feb lalu.

Ia susulan kemelut yang berpunca daripada tindakan pemimpin-pemimpin politik berkumpul di sebuah hotel di Petaling Jaya bagi membentuk sebuah kerajaan baru.

Bersama-sama bekas pemimpin PKR yang diketuai bekas timbalan presidennya, Azmin Ali, Muhyiddin membentuk kerajaan dengan kerjasama pemimpin BN, PAS dan GPS.

Bersatu kini berpecah antara kumpulan penyokong Mahathir dan Muhyiddin Yassin selaku presiden parti.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker