32% pencarum hanya ada RM1,000 dalam akaun 1 KWSP, kata Tengku Zafrul

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkan 32% pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai baki dalam akaun 1 hanya sekitar RM1,000.

Katanya, manakala 10% pencarum pula mempunyai baki dalam akaun 1 KWSP sekitar RM5,000 dan ke bawah.

“Saya juga ingin menceritakan perkara yang belum pernah diceritakan ini, soal pencarum KWSP ini kita kena fikir penyelesaian jangka panjang untuk pencarum, kalau kita lihat data daripada KWSP ada 32% daripada jumlah pencarum hanya mempunyai baki purata sekitar RM1,000 dan 10% sekitar RM5,000 dalam akaun 1.

“Jadi, 42% pencarum KWSP akaun 1 mempunyai wang dalam akaun hanya sekitar RM5,000 dan ke bawah. Ini salah satu isu struktur yang perlu ditangani kerana jaringan keselamatan sosial itu penting, kerajaan kena fikir untuk jangka sederhana dan panjang,” katanya dalam wawancara khas di TV3 malam ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan hanya membenarkan pengeluaran secara bersasar RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan menerusi akaun 1 yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 Jumaat lalu.

Zafrul berkata, selepas pembentangan belanjawan masih terdapat keluhan pelbagai pihak supaya memperluaskan pengeluaran daripada akaun 1 itu.

“Pihak kementerian berbincang dengan KWSP hari ini dan jumlah mereka yang akan menerima manfaat ditingkatkan melebihi angka asal 600,000 yang diumumkan.

“Ramai minta kita dengar isu dibangkitkan, kita kena benarkan pengeluaran bersasar, kita akan beri peluang kepada rakyat untuk keluar akaun 1 secara bersasar kalau mereka hilang pekerjaan dan terkesan (akibat Covid-19).

“Saya sudah bincang dengan pihak KWSP hari ini dan mereka berjanji untuk mengumumkan siapa yang layak. Nasihat saya kepada pihak pengurusan KWSP untuk memperluaskan, yang saya umum masa pembentangan 600,000 akan dapat manfaat.

“Selepas dengar keluhan rakyat, hari ini kita setuju meningkatkan lagi supaya lebih ramai yang akan dapat mengeluarkan (akaun 1 KWSP),” katanya memaklumkan pengumuman itu akan dibuat KWSP esok.

M40 tetap terima manfaat

Sementara itu, Zafrul berkata golongan M40 tetap menerima manfaat daripada belanjawan kali ini yang mana peruntukan diberi sekitar RM10 bilion.

“Insentif M40 dalan belanjawan tak berkurang, jumlah lebih kurang RM10 bilion.

“Contoh kita kurangkan 1% cukai untuk mereka yang berpendapatan antara RM50,000 hingga RM70,000 setahun. Kedua kita ada pengurangan caruman KWSP yang mana dari 11% kepada 9%,” katanya.

Beliau berkata, komitmen perbelanjaan kerajaan dalam belanjawan kali ini bagi mewujudkan situasi ekonomi yang stabil di Malaysia. FMT

Berapa peratus sahaja dari rakyat boleh keluar akaun 1 KWSP? – Zahida

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker