Meneruskan kelangsungan hidup

Share

Belanjawan 2021 dengan peruntukan RM322.5 bilion merupakan yang terbesar dalam sejarah negara sekali gus menunjukkan iltizam kerajaan untuk memacu semula ekonomi negara dan memulihkan keyakinan rakyat.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 kelmarin, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan daripada RM322.5 bilion itu, RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19.

Sesuatu yang sangat penting dalam belanjawan itu ialah peningkatan bantuan bulanan kepada kumpulan rentan (vulnerable group). Ini merupakan antara usaha kerajaan memulihkan keyakinan rakyat dan menjaga kebajikan mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Tengku Zafrul antara lain mengumumkan kenaikan kadar bantuan orang kurang upaya (OKU) tidak bekerja daripada RM250 kepada RM300. Kadar bantuan kepada warga emas dan penjagaan OKU dan pesakit kronik terlantar dinaikkan daripada RM350 kepada RM500.

Selain itu, kadar bantuan kepada keluarga miskin juga dinaikkan daripada RM100 seorang anak (maksimum RM450 sekeluarga) kepada RM150 seorang anak berumur tujuh tahun hingga 18 tahun; atau RM200 seorang anak berumur enam tahun dan ke bawah; dengan maksimum RM1,000 sekeluarga.

Kerajaan turut mengumumkan kenaikan bantuan kepada nelayan dan pemansuhan kadar faedah hutang peneroka Felda.

Bantuan sara hidup nelayan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300. Sebanyak RM400 juta diperuntukkan bagi pelupusan faedah hutang peneroka Felda pada 2021.

Sudah Nampakkah Anda Siapa Ts Muhyiddin Yassin?

Pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen pula diberi bantuan khas kewangan RM300.

Ada ramai yang berkata Belanjawan 2021 tiada sesuatu yang baharu. Tiada yang boleh memberi wow factor kepada rakyat. Malah ada beberapa perkara menimbulkan ketidaksenangan rakyat.

Realitinya ketika ekonomi dunia dalam keadaan suram kerajaan terpaksa menumpukan kepada usaha-usaha menstabilkan keadaan berbanding memacu kemajuan.

Seperti dimaklumkan oleh Tengku Zafrul, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi global mencatat pertumbuhan negatif pada paras 4.4 peratus pada tahun ini. Perdagangan dunia juga dijangka merosot pada kadar 10.4 peratus.

Justeru, walaupun terdapat peruntukan perbelanjaan sebanyak RM69 bilion ia lebih kepada meneruskan usaha pembangunan infra sedia ada dan cubaan untuk terus menggerakkan ekonomi agar tidak menguncup.

Pencarum

Kekecewaan sebahagian rakyat tentulah kepada keengganan kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Walaupun kerajaan membenarkan pengeluaran RM500 sebulan selama 12 bulan pada 2021, namun ia masih dilihat tidak memberi ruang yang sebaiknya kepada pencarum KWSP yang berhadapan kekangan sumber pendapatan.

Pertahan Jasa : Jasa sekarang mungkin bukan macam Jasa dulu, kata Annuar Musa

Sebahagian pencarum mungkin memerlukan wang tersebut secara tunai untuk memulakan perniagaan kecil atau menampung pembayaran hutang rumah.

Justeru, kerajaan perlu pertimbangkan untuk membenarkan mana-mana pencarum KWSP yang hilang sumber pendapatan sama ada sepenuhnya atau separuh membuat pilihan sama ada mahu mengeluarkan secara bulanan atau sekali gus RM6,000.

Pihak KWSP mungkin berhadapan kekangan aliran tunai, namun saya fikir ia masih boleh diuruskan dengan baik melalui pelaksanaan yang dilakukan secara berperingkat.

Jika kerajaan bimbang ketiadaan simpanan hari tua, mungkin pengeluaran itu disyaratkan sebagai bentuk pinjaman tanpa faedah. Apabila pencarum telah stabil sama ada mempunyai pekerjaan atau perniagaan baharu, mereka perlu bayar semula pinjaman tersebut.

Dalam keadaan seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19, bergelut antara ancaman kesihatan dan keperluan hakiki manusia mengisi perut dan meneruskan kelangsungan hidup, keprihatinan kerajaan dan ahli Parlimen amat diperlukan.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Leave a Reply